Program Madani Rakyat dapat sambutan luar biasa, fitnah tidak pengaruhi rakyat
- Suara Keadilan

- Jul 13, 2025
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Sambutan luar biasa Program Madani Rakyat (PMR) yang diadakan di Pasar Payang, Terengganu telah membuktikan bahawa program-program yang dianjurkan oleh Kerajaan Madani mampu menambat hati rakyat khasnya warga Pantai Timur.
Program yang bermula pada 10 Julai lalu dan berakhir petang semalam telah mencatatkan kehadiran lebih 120,000 pengunjung yang teruja untuk bersama meraikan PMR dengan suasana yang harmoni .
Pasar Payang atau juga dikenali sebagai Pasar Besar Kedai Payang, pusat pasar tradisional ikonik negeri tersebut menjadi saksi kebanjiran pengunjung bermula hari pertama lagi.
Pada hari pertama sahaja itu (10 Julai 2025) kehadiran yang telah dicatatkan ialah seramai 21,719 orang, hari kedua jumlah pengunjung 36,722 orang dan pada hari terakhir seramai 67,062 orang.
Jumlah keseluruhan kehadiran pengunjung yang telah dicatatkan sehingga program ditutup ialah seramai 125,503 orang.
Sengaja penulis mencatatkan butiran kehadiran mengikut bilangan hari yang diperolehi daripada penganjur ini untuk membuka mata kepada pengkritik yang suka `membutakan mata dan menutup minda’ mendakwa Kerajaan Madani kononnya tidak disenangi rakyat.
Ada juga yang mendakwa PMX semakin tidak popular dan pelbagai lagi hasutan, fitnah yang memburukkan Perdana Menteri yang menerajui Kerajaan Madani.
Hakikatnya walaupun PMR diadakan di negeri pembangkang namun keterujaan rakyat untuk menyertai program anjuran Kerajaan Madani adalah bukti bahawa fitnah-fitnah liar itu tidak melekat di hati mereka.
Dengan tema “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera”, PMR 2025 Terengganu menampilkan usaha Kerajaan MADANI membangunkan infrastruktur inklusif seperti jalan, jambatan dan kemudahan awam, sambil memperkukuh nilai insaniah demi membentuk rakyat beretika, cakna dan bertanggungjawab.
Buah tangan PMX untuk Terengganu
Paling menarik kehadiran Perdana Menteri Datok Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar merasmikan penutup program tersebut tetapi turut membawa `buah tangan’ untuk rakyat Terengganu .
Dalam ucapannya, PMX telah maklumkan bahawa Terengganu dipilih sebagai negeri pertama di bawah Program Tuisyen MADANI yang menerima peruntukan sebanyak RM5.27 juta.
Katanya, Program Tuisyen Madani melibatkan seramai 9,408 orang pelajar dengan kerjasama bantuan pengajar daripada guru-guru sekolah seramai 614 orang guru.
Bantu pelajar susah
PMX berkata beliau yakin inisiatif tersebut dapat membantu pelajar yang kurang berkemampuan agar tidak tercicir dalam pelajaran, mengurangkan jurang pendidikan, meningkatkan prestasi akademik selain satu pelaburan dalam pendidikan anak-anak untuk masa depan negara yang lebih sejahtera dan beretika.
PMX juga mengingatkan rakyat Terengganu agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas kononnya kerajaan Persekutuan tidak membangunkan negeri ini.
Beliau berkata hakikatnya, sebanyak 445 program dan projek bernilai RM1.836 bilion telah diluluskan di bawah RP5 RMK12, iaitu peningkatan RM239 juta berbanding tahun lalu.
"Ini jelas membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Terengganu terus diperkasa," kata beliau.
Walaupun pembangkang kerap menghina dan cuba menjatuhkan Kerajaan Madani, namun PMX tidak pernah menunjukkan sikap berdendam apatah lagi mahu meminggirkan rakyat di negeri-negeri pembangkang.
Saranan penulis demi kesejahteraan warga Malaysia sudah sewajibnya menghentikan dakyah-dakyah palsu serta fitnah yang berpanjang kerana perbuatan itu lebih merugikan negara .









Comments