Program kesihatan komuniti Bukit Jambul dapat sambutan hangat
- Suara Keadilan

- Oct 13
- 1 min read

Program Kesihatan Komuniti Bukit Jambul yang berlangsung di Taman Kejiranan Bukit Jambul kelmarin mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat yang hadir untuk mendapatkan pelbagai khidmat pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Program anjuran Panel Kesihatan Bukit Jambul dan Sungai Dua itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk saringan NHSI dan Peka B40, saringan Pap Smear, pemeriksaan payu dara, pameran Kenali Ubat Anda, pemeriksaan gigi serta aktiviti senamrobik, pertandingan mewarna dan kuiz kesihatan.
Menurut ADUN Batu Uban, A Kumaresan, program seperti itu amat berguna kepada masyarakat setempat bagi memeriksa keadaan kesihatan masing masing. Beliau dalam program itu turut serta menjalani pemeriksaan glukosa dan tekanan darah.
"Syukur (kesihatan) semuanya dalam keadaan baik.
"Walaupun kita sibuk dengan rutin harian, kesihatan adalah elemen penting dalam kehidupan. Saya menasihati semua supaya sentiasa menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala," katanya ketika ditemui pada majlis itu.
Beliau berkata, program seumpama itu amat bermanfaat kepada masyarakat kerana ia menghimpunkan pelbagai perkhidmatan kesihatan di bawah satu bumbung tanpa perlu menunggu janji temu di klinik.
"Hari ini para penduduk amat beruntung kerana pihak penganjur telah menyediakan kemudahan kesihatan ‘one-stop centre’ yang mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat," ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para doktor dan jururawat yang sanggup turun padang pada hujung minggu bagi memberikan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.
Program tersebut juga menjadi platform penting bagi memperkukuh kesedaran kesihatan awam dalam kalangan penduduk Bukit Jambul dan sekitarnya.









Comments