Program kebun sekolah di Sabah diperluas mulai tahun depan - Jamawi
- Azuan Ab Rahman

- Jun 18
- 1 min read

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar bercadang memperluas secara besar-besaran program kebun sekolah ke seluruh negeri itu bermula tahun hadapan.
Beliau berkata, cadangan tersebut bertujuan memupuk kesedaran terhadap keterjaminan makanan serta keusahawanan pertanian dalam kalangan pelajar dan telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Sabah untuk dilaksanakan menerusi kerjasama strategik bersama kementeriannya.
"Beberapa sekolah yang menawarkan subjek pertanian di peringkat Tingkatan Empat telah pun memulakan inisiatif kebun sekolah sebagai langkah awal.
"Keterjaminan makanan perlu dipupuk dari peringkat awal supaya pelajar faham bahawa pertanian bukan sahaja sumber makanan, tetapi juga satu bidang perniagaan yang mampu menjana pendapatan," katanya dalam kenyataan.
Bagi beliau, kerajaan perlu meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai pentingnya sektor pertanian dan keterjaminan makanan.
"Tahun ini fokus utama adalah meningkatkan kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan sektor pertanian.
"Jadi kita menggalakkan PIBG untuk bergerak aktif membantu pihak sekolah, manakala kementerian akan menyediakan khidmat nasihat," katanya.
Menerusi kenyataan sama, Jamawi berkata, semua pegawai pertanian serta agensi di bawah kementeriannya telah diarahkan untuk membantu sekolah-sekolah yang berminat melaksanakan projek berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa kementerian sedang dalam persiapan melancarkan platform digital kebundapur.com bagi membantu pengusaha memasarkan hasil secara terus kepada pengguna.




Comments