Program Kebun Dapur tingkat keterjaminan makanan di Sabah - Jamawi
- Suara Keadilan
- 8 minutes ago
- 1 min read

Menteri Pertanian negeri Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menyatakan hasrat untuk memperkenal Program Kebun Dapur sebagai inisiatif meningkatkan keterjaminan makanan di negeri itu.
Bercakap kepada pemberita selepas sesi ‘Clock In’ di pejabatnya di Kota Kinabalu pada Rabu beliau berkata, program melibatkan aktiviti pertanian dan penternakan skala kecil di perkarangan rumah itu mampu membantu rakyat menjadi pengeluar makanan sendiri, sekali gus menjana pendapatan sampingan.
"Saya ingin kemukakan satu cadangan—sekiranya tidak bercanggah dengan dasar kerajaan—untuk memperkenalkan konsep kebun dapur.
"Program ini bertujuan menggalakkan rakyat berkebun di kawasan rumah dengan menanam pelbagai tanaman untuk kegunaan harian. Jika digerakkan secara besar-besaran, saya yakin suatu hari nanti Sabah mampu menjadi pengeluar utama durian, avokado atau nangka madu," katanya dipetik.
Jamawi dilantik menganggotai Jemaah Menteri Sabah pada Isnin selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 minggu lalu.
Sementara itu, Jamawi turut mencadangkan agar pusat semaian Jabatan Pertanian diperkasa bagi menyediakan benih berkualiti pada harga mampu milik supaya lebih ramai rakyat dapat terlibat program tersebut.
Dalam masa sama beliau mencadangkan kewujudan pusat pengumpulan hasil di peringkat komuniti bagi menyokong usaha tersebut.
"Pelaksanaan program itu bergantung kepada keupayaan peruntukan kementerian, namun kita tidak menolak kemungkinan menggunakan peruntukan khas menteri bagi melaksanakan projek perintis (pilot project) di beberapa lokasi terpilih.
"Yang penting kita mula dahulu supaya rakyat dapat melihat impaknya. Bila hasilnya jelas, program ini boleh diperluaskan ke lebih banyak kawasan," tambahnya.





