
Program Jualan Rahmah (PJR) yang diperkenal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini diperluas ke negeri Pahang.
Timbalan Menteri KPDN Fuziah Salleh semalam merasmikan inisiatif di bawah jenama Payung Ramah yang dijayakan melalui kolaborasi bersama pemain industri sektor peruncitan itu di TMG Mall Tanjung Lumpur, Kuantan.
"Sempena perasmian PJR pada hari ini, TMG Mall menawarkan potongan harga diskaun sehingga 30 peratus. Manakala bagi Pakej Rahmah, TMG Mall menyediakan pakej barangan keperluan asas bernilai RM50. Harga asal barangan tersebut adalah RM70.
"Saya turut menyerahkan sumbangan Bakul Rahmah kepada 100 penerima daripada golongan asnaf.
"Inisiatif Bakul Rahmah ini dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik, Pemain Industri (pasar raya) agensi Kerajaan, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya bagi membantu kumpulan miskin tegar B10 (pendapatan kurang daripada RM2,500) dalam mengurangkan beban kos sara hidup yang dihadapi mereka
"Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara dan dijangka dapat memberikan manfaat kepada 37,373 Ketua Isi Rumah (KIR) kumpulan miskin tegar dan golongan sasar secara bulanan," katanya.
Difahamkan barangan yang ditawarkan di bawah PJR dengan kerjasama TMG Mall adalah melibatkan 128 item antaranya hasil laut, sayuran dan buah-buahan, makanan kering dan pelbagai jenis barangan keperluan asas yang lain.
Serentak dengan perasmian itu juga Homegrown Restoran Chicago Chicken City (CCC) turut serta mengambil bahagian melaksanakan inisiatif Menu Rahmah.
Menu yang ditawarkan adalah nasi, seketul ayam beserta minuman milo yang dijual pada harga RM5.00 untuk satu hidangan dan boleh dibeli di semua cawangan Chicago Chicken City di seluruh negara.
Sementara itu tambah Fuziah, pihak kementerian berharap lebih ramai pihak industri, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan dapat bersama Kementerian dalam menjayakan inisiatif Jualan Rahmah dan Bakul Rahmah.