Program Golf Youth Experience disokong ADUN Batu Uban
- Suara Keadilan
- May 21
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Jawatankuasa Belia Pulau Pinang (JBPP) Batu Uban baru-baru ini telah menganjurkan program Golf Youth Experience bertempat di Kelab Golf Pulau Pinang, Bukit Jambul.
Menurut satu kenyataan, seramai 35 orang peserta belia telah mengambil bahagian dalam program berkenaan bertujuan memperkenalkan sukan golf dan memupuk semangat untuk mencuba perkara baharu dalam kalangan generasi muda.
"Sepanjang program, peserta yang majoritinya pertama kali mencuba sukan golf telah diberikan pendedahan asas seperti teknik hayunan, sesi latihan amali serta aktiviti menyeronokkan di padang golf.
"Objektif utama program adalah untuk membina keyakinan diri, menggalakkan gaya hidup sihat dan memupuk minat terhadap sukan golf dalam suasana yang santai dan bermanfaat.
"Program ini juga bukan sekadar memperkenalkan sukan tetapi membuka ruang untuk pembangunan sahsiah dan memberi peluang kepada belia mencuba sesuatu yang baharu dan berbeza," kata kenyataan itu memetik jurucakap JBPP Batu Uban.
Program tersebut turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan
yang diwakili Setiausaha Khas Kanan beliau, Cheah Peng Guan.
"Kehadiran beliau (Peng Guan) menyemarakkan lagi semangat peserta dan memberi suntikan motivasi sepanjang program berlangsung.
"Maklum balas positif daripada peserta, ibu bapa dan sukarelawan jelas menunjukkan kejayaan program ini dalam menyatukan komuniti serta memperkasakan belia melalui pendekatan sukan dan pembelajaran luar bilik darjah.
"JBPP Batu Uban merakamkan ucapan terima kasih kepada semua peserta, sukarelawan dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Golf Youth Experience.
"Penghargaan turut ditujukan kepada JBPP Pantai Jerejak atas kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini," katanya lagi.
Comments