Program FELDA ditangguh, kenapa MB Johor kata beliau dihalang hadir?
- Akmal Manaf

- Jun 24
- 2 min read

Dakwaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bahawa beliau dihalang menghadiri Sambutan Hari Peneroka FELDA Johor 2026 dipersoalkan apabila surat rasmi FELDA yang menjadi rujukan hanya menyatakan program itu ditangguhkan, bukannya beliau dilarang atau disekat daripada hadir.
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, surat rasmi FELDA bertarikh 16 Jun 2026 yang dihantar kepada Menteri Besar Johor langsung tidak menyebut perkataan ‘halang’, ‘larang’, ‘sekat’ atau sebarang istilah yang membawa maksud kehadiran beliau tidak dibenarkan.
Sebaliknya, kata Eddiarman, apa yang dinyatakan dengan jelas dalam surat berkenaan ialah program tersebut ‘ditangguhkan’.
"Jadi bagaimana sebuah program yang ditangguhkan boleh bertukar menjadi cerita bahawa Menteri Besar Johor telah ‘dihalang’?
"Persoalan kedua, mengapa Datuk Onn Hafiz menggunakan istilah ‘dibatalkan’ sedangkan surat FELDA menyebut program itu ‘ditangguhkan’?

"Dalam bahasa mudah difahami rakyat, ditangguhkan bermaksud program itu masih ada dan akan diadakan pada tarikh lain, tetapi kenapa pula fakta dalam surat bertukar menjadi naratif politik apabila sampai ke pentas ceramah dan media?" soal beliau dalam satu kenyataan.
Eddiarman menyifatkan, tindakan tersebut sebagai politik lama yang semakin ditolak rakyat kerana lebih bersandarkan persepsi berbanding fakta.
"Apabila program ditangguhkan, ia dipersembahkan seolah-olah 'dihalang'. Apabila tiada bukti, persepsi pula dijadikan modal politik.
"Lebih mengecewakan, tuduhan sebegini bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah secara tidak langsung cuba menggambarkan Kerajaan Persekutuan sebagai kerajaan yang zalim dan menyalahgunakan kuasa tanpa sebarang bukti yang kukuh," ujarnya lagi.
Semalam, Onn Hafiz mendakwa beliau dihalang memasuki kawasan FELDA bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026, hujung minggu lalu.
Hal itu menyebabkan majlis yang sepatutnya dijadual berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa ditukar ke Dewan Dato' Onn, Taman Sri Lambak.
Onn Hafiz bagaimanapun berkata, beliau memahami dan tidak menyalahkan pihak FELDA dalam hal itu.




Comments