
Oleh: Abdullah Zaid
Wanita Pakatan Harapan (PH) optimis prestasi terbaik Kerajaan Perpaduan menerajui negeri yang ditadbir, mampu memenangi hati pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Pengerusi Wanita Pakatan Harapan (PH) Aiman Athirah Sabu berkata, rakyat kini bijak untuk memilih dan menilai track record sepanjang tempoh lima tahun pemerintahan negeri PH mahupun PN yang diterajui Pas.
"Faktanya Kerajaan Perpaduan yang mentadbir negeri yang dimenangi sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) lepas adalah negeri terbaik seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
"Dibanding dengan Kedah, Kelantan dan Terengganu, negeri yang ditadbir (rekod) kita adalah jauh lebih baik," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.
Selain itu, Aiman Athirah yang juga Ahli Parlimen Sepang turut mengingatkan bahawa gabungan Pas-Bersatu itu tidak mengangkat isu-isu dasar, sebaliknya menakutkan-nakutkan pengundi dengan memainkan sensitiviti agama dan kaum.
"Kita tidak perlu ke arah menakutkan-nakutkan orang (isu kaum dan agama) sebaliknya bercakap mengenai dasar dan politik nilai yang ingin dibawa.
"Berikan tumpuan kepada isu yang membawa isi polisi dan dasar untuk memajukan negeri supaya rakyat boleh menilai," ujarnya.
Dalam pada itu, Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN) itu juga menyarankan calon-calon daripada Kerajaan MADANI agar mengangkat isu-isu tempatan bagi menambat hati pengundi dalam kerusi yang dipertandingkan.
"Untuk memenangi hati rakyat, sebagai calon selain bawa isu negeri, isu-isu local (tempatan) mesti diangkat supaya pengundi tahu apa yang hendak dibawa.
"Tidak perlu, bincang isu-isu projek besar sebaliknya fokus kepada local issue (isu-isu tempatan)," katanya lagi.
Comentarios