Undi dengan yakin, jangan khuatir 'tangan-tangan hitam' - Nurul Izzah
- Noraini Nordin
- 20 hours ago
- 2 min read

Sorotan Khas PRN Johor: Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar penuh yakin Pakatan Harapan (PH) mampu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Katanya, semua dapatan dan maklum balas setakat ini menunjukkan PH mendapat penerimaan yang baik daripada pengundi.
"Kita serahkan kepada keberanian orang Johor membuat keputusan dan ketentuan Allah kerana mereka sendiri yang akan memilih masa depan mereka.
"Kita mahu agar suara rakyat yang hanya takut kepada Allah menjadi pilihan dan tanggungjawab PH adalah untuk membawa Johor terus ke depan menghadapi cabaran," katanya.
Nurul Izzah berkata demikian dalam temubual khas selepas seharian melakukan pelbagai program kempen di Johor, hujung minggu lalu.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, calon-calon PH semuanya adalah mereka yang berani bersuara demi rakyat dan tiada masalah untuk memperjuangkan isu-isu rakyat di negeri Johor.
Beliau juga mengingatkan pengundi yang akan mengundi pada 11 Julai ini agar tidak takut dengan “tangan-tangan hitam” yang mungkin memberi arahan di belakang tabir.
"Saya harap janganlah mereka berasa tertekan kerana apa yang kita mahukan ialah mereka dapat menilai peranan kerajaan pusat dalam memberi kerjasama berkaitan pelaburan dan meluaskan lagi pembangunan di negeri Johor menerusi peranan wakil rakyat daripada anak jati negeri Johor sendiri.
"Dengan itu diharap janganlah ada rasa takut dalam membuat pilihan menerusi undi mereka," katanya.
Undi berpandukan hati nurani
Menurut Nurul Izzah, apa yang penting ialah mereka dapat mengundi dengan hati nurani sendiri agar suara mereka benar-benar didengari.
Berkenaan calon-calon yang bertanding, beliau berkeyakinan penuh mereka yang diberi amanah adalah kalangan yang berani bersuara untuk rakyat.
Jika terpilih, katanya, mereka itu tidak ada masalah untuk memperjuangkan isu rakyat dalam skop tanggungjawab mereka selaku wakil di DUN Johor.
"Ini penting kerana apa yang orang Johor mahukan ialah pembangunan yang seimbang, mereka mahukan beberapa permasalahan asas dari segi infra dan pembangunan yang kalis cabaran ketika berdepan cuaca yang tidak menentu, selain berkaitan peluang-peluang pekerjaan," tambahnya.
Nurul Izzah juga berbangga kerana psikologi calon-calon yang bertanding berada dalam keadaan terkawal, meski berdepan fasa kempen yang mencabar.
"Alhamdulillah, semua dalam keadaan terkawal dan kita memang buat ujian psikologi secara online dengan seorang pakar dan kita kita harap keadaan mereka (calon) berkekalan sehingga hari pengundian," jelas beliau.
