
Jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah berada dalam keadaan siap sedia untuk digerakkan bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ketuanya, Adam Adli Abdul Halim berkata, ketika ini sayap pemuda parti KEADILAN itu berada pada tahap kesiapsiagaan lebih 60 peratus.
"Sebenarnya AMK telah memulakan kerja-kerja untuk PRN ini sejak dua bulan lepas, malah mesyuarat peringkat AMK melibatkan kenam-enam negeri juga telah dijalankan... Kita telah turun ke negeri-negeri terlibat sebelum puasa lagi untuk selesaikan pengurusan AMK.
"Dalam mesyuarat itu, kita telah kenal pasti keperluan untuk PRN dan sekarang adalah masa untuk kami isi dan jalankan perkara-perkara yang dikenal pasti tersebut," katanya.
Adam berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat AMK negeri dan melancarkan Jentera AMK Pulau Pinang bagi PRN di Bukit Mertajam, semalam.
Adam sementara itu berkata, pihaknya menyasarkan sejumlah 30 peratus calon dalam kalangan AMK untuk PRN di keenam-enam negeri.
Beliau turut menegaskan pihaknya juga bersedia untuk bekerjasama dengan sayap pemuda parti lain dalam kerajaan terutama dari Barisan Nasional (BN).
"Di peringkat Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) kita memang ada engagement (perjanjian kerjasama berterusan). Begitu juga dengan UMNO, MIC dan MCA.
"Engagement ini bukan sekadar untuk mendepani pilihan raya tapi untuk pentadbiran negara itu sendiri. Kita memang tak ada masalah untuk bekerjasama (khususnya dengan parti komponen BN) kerana kita komited dalam usaha untuk mempertahan kerajaan," katanya.