PRN Sarawak: Satu undi tentukan arah pembangunan, dasar, keutamaan pentadbiran


KEADILAN Sarikei memberi isyarat kesediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 apabila mengambil langkah awal membeli beberapa set borang penamaan calon bagi memastikan persiapan parti berjalan lancar menjelang pilihan raya negeri itu.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee Chin Kui berkata, pembelian set borang penamaan calon itu mencerminkan kesediaan organisasi parti untuk melaksanakan tanggungjawab demokrasi serta memberikan pilihan kepada rakyat Sarawak dalam menentukan wakil rakyat dan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, tempoh lima tahun atau bersamaan 1,825 hari merupakan peluang bagi pengundi menggunakan kuasa demokrasi yang paling berharga, iaitu menentukan sendiri wakil rakyat yang ingin dipilih untuk membawa suara dan kepentingan mereka.
"Boleh jadi bos, boleh jadi raja dalam sehari untuk memilih siapa wakil rakyat yang anda mahu.
"Dalam sistem demokrasi berparlimen, rakyat merupakan pemegang mandat tertinggi melalui pilihanraya.
"Setiap lima tahun, rakyat diberikan peluang untuk menggunakan hak perlembagaan mereka bagi memilih wakil yang akan membawa suara, aspirasi dan kepentingan masyarakat.
"Satu undi bukan sekadar memilih seseorang calon atau parti politik, ia merupakan satu amanah yang menentukan arah pembangunan, dasar kerajaan dan keutamaan pentadbiran untuk lima tahun berikutnya," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Bruce menyifatkan pilihanraya kali ini mempunyai dimensi politik yang menarik memandangkan kedudukan politik dan realiti pembahagian kerusi berkemungkinan menyaksikan pertandingan sesama parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Jika pertandingan sesama parti komponen Kerajaan Perpaduan berlaku, beliau berkata ia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses demokrasi dan persaingan politik yang sihat dan bukannya alasan untuk mencetuskan permusuhan atau meruntuhkan hubungan kerjasama yang telah dibina.
"Kita mungkin mempunyai perbezaan dari segi strategi pilihanraya, pendekatan politik dan calon yang diketengahkan, namun perbezaan tersebut tidak seharusnya menghapuskan prinsip saling menghormati, semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama terhadap kestabilan politik negara.
"Kita boleh menjadi pesaing di medan pilihanraya, tetapi tidak semestinya menjadi musuh dalam perjuangan membangunkan negara.
"Saya berpandangan jika situasi itu (pertembungan sesama rakan dalam Kerajaan Perpaduan) berlaku, ia juga perlu berlangsung secara matang, berhemah dan berlandaskan prinsip demokrasi.
"Elakkan politik serangan peribadi, tuduhan tidak berasas dan kenyataan yang boleh merosakkan hubungan antara parti-parti yang selama ini bekerjasama dalam kerajaan," ujarnya lagi.




Comments