Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak meluahkan rasa kesal terhadap keputusan kerajaan negeri untuk menamatkan proklamasi darurat Sarawak dengan lebih awal bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Ketua AMK Sarawak, Saifunnizam Sam dan Timbalan Ketua AMK Sarawak, Chiew Choon Man berkata, berbeza dengan negeri Melaka, Sarawak telah diberi ruang di bawah pengisytiharan darurat dan hanya perlu mengadakan PRN selepas 60 hari darurat yang sepatutnya ditamatkan pada 2 Februari 2022.
"Seperti yang dilaporkan dalam media kebelakangan ini, Sarawak masih diancam oleh penularan varian Delta. Melainkan dalam keadaan terdesak, aktiviti yang akan meningkatkan pergerakan dan pengumpulan orang ramai adalah sangat membahayakan.
"Oleh itu, adalah tidak wajar dan tiada keperluan terdesak untuk PRN diadakan pada masa terdekat ini memandangkan proklamasi darurat Sarawak sepatutnya berakhir pada bulan Februari 2022," katanya.
Pada masa sama, AMK Sarawak juga menganggap alasan sebenar GPS untuk mengadakan PRN pada tahun ini adalah bertujuan bagi mengelak pelaksanaan Undi-18.
"Tindakan ini jelas menafikan hak golongan yang berada dalam linkungan 18 ke 20 daripada mengundi dalam PRN kali ini. AMK Sarawak berpandangan tiada alasan lain mengapa GPS bertindak sedemikian kecuali takut dan gementar dengan undi anak muda," katanya.
AMK Sarawak juga kecewa terhadap Ketua Menteri Sarawak yang lebih mengutamakan percaturan politik daripada kepentingan rakyat dalam membuat keputusan untuk mengadakan pilihan raya negeri dalam masa terdekat.
"Ketua Menteri Sarawak gagal menunjukkan dirinya adalah berlainan daripada rakan sekutu mereka yang mencetuskan pilihan raya di Sabah dan Melaka demi agenda politik diri.
"Apa yang berlaku telah terjadi. Menurut Ordinan Darurat dan Perlembagaan Negeri Sarawak, PRN harus diadakan dalam 60 hari dari tarikh pembatalan proklamsi darurat. AMK Sarawak merayu kepada seluruh rakyat negeri Sarawak agar lebih berhati-hati dalam menghadapi PRN kali ini.
"Sesungguhnya musuh kita yang sebenar bukanlah mana-mana individu atau kelompok politik, tetapi penyakit Covid-19 yang telah mendatangkan malapetaka kepada kita dalam dua tahun ini.
"AMK Sarawak juga ingin mengingatkan kepada rakyat Sarawak bahawa tindakan GPS hari ini jelas menunjukan sikap sebenar mereka yang tidak mempedulikan keselamatan rakyat demi mencapai matlamat mereka untuk berkuasa dan menghalang Undi 18 daripada dilaksanakan," katanya.
Comments