PRN Sarawak: Berundur selangkah tidak semestinya kalah - David Cheong


Keputusan KEADILAN tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 tidak seharusnya dinilai berdasarkan soal keberanian, ketakutan atau kekuatan parti, sebaliknya mencerminkan kebijaksanaan parti dalam mempertimbangkan langkah lebih besar demi kepentingan rakyat dan kelangsungan agenda reformasi.
Bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong, dalam politik, kebijaksanaan bukan hanya terletak pada keberanian untuk berlawan, tetapi juga kemampuan mengenal pasti masa yang sesuai untuk berundur dan bersabar.
"Keberanian bukan semata-mata diukur melalui kesanggupan untuk bertanding, tetapi juga kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
"Berundur selangkah tidak semestinya kalah, sebagaimana bersabar tidak bererti lemah," katanya dalam satu kenyataan.
Sebagai anggota lama KEADILAN, beliau mengajak seluruh anggota kembali menghayati asas dan matlamat asal penubuhan parti serta memahami perjuangan yang ingin dibawa sejak awal.
"Mengapa KEADILAN ditubuhkan? Mengapa kita menyertai parti ini? Adakah semata-mata untuk merebut kerusi, jawatan dan kuasa, atau untuk membawa perubahan kepada sistem pentadbiran negara melalui agenda reformasi, keadilan sosial dan tata kelola yang baik?
"Setelah hampir tiga dekad perjuangan, Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini telah genap empat tahun menerajui pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri.
"Pada usia 79 tahun, beliau masih berusaha memperbaiki sistem pentadbiran, memperkukuh institusi, membangunkan ekonomi dan mengangkat martabat negara.
"Agenda reformasi ini masih belum selesai. Setiap keputusan politik perlu dinilai berdasarkan kepentingan jangka panjang seluruh rakyat Malaysia, bukan semata-mata kepentingan kepartian," ujarnya lagi.
David menambah, perbezaan pandangan dalam kalangan anggota merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang perlu dihormati, termasuk aspirasi anggota KEADILAN di Sarawak yang wajar diberi ruang dalam setiap pertimbangan dan keputusan politik parti.
Beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor menganggap pengorbanan bukanlah lambang kelemahan, sebaliknya mencerminkan kematangan dalam perjuangan politik.
"Mengambil satu langkah ke belakang hari ini boleh menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang, sekiranya keputusan tersebut benar-benar mampu membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat.
"Akhirnya, kejayaan sesebuah perjuangan politik bukan sekadar diukur melalui jumlah kerusi yang dipertandingkan atau dimenangi, tetapi juga melalui perubahan yang berjaya dibawa kepada kehidupan rakyat," katanya lagi.




Comments