'BAP, ibu bapa diberitahu prestasi anak, BKJ setakat jumpa pemimpin BN'


Naib Pengerusi KEADILAN Johor, Jimmy Puah Wee Tse membidas Ketua Penerangan Umno negeri, Md Israk Abdullah kerana didakwa mengelirukan rakyat dengan menyamakan cadangan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyerahan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dengan pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ).
Jimmy menjelaskan, kedua-dua bantuan itu mempunyai tujuan dan pendekatan berbeza apabila BAP menggalakkan ibu bapa hadir ke sekolah untuk bertemu guru yang mendidik anak-anak mereka, bukannya sekadar mengambil wang bantuan.
Katanya, pendekatan tersebut memberi ruang kepada ibu bapa mendapatkan maklumat mengenai prestasi akademik, sikap, disiplin serta masalah anak-anak, selain mengetahui keadaan sekolah dan perkembangan murid secara langsung daripada guru.
"Manakala BKJ dikritik hebat kerana rakyat tak kiralah orang muda, warga emas dan orang kelainan upaya, semua terpaksa beratur panjang, berkumpul berjumpa ahli politik Barisan Nasional (BN) dan mendengar ceramah politik sebelum menerima bantuan.
"Jadi jangan hanya kerana kedua-duanya melibatkan penyerahan bantuan secara bersemuka, terus dianggap sama.
"PMX mahu ibu bapa hadir ke sekolah bukan sekadar mengambil RM200, tetapi mengambil peluang bertanya tentang prestasi pelajaran, sikap, disiplin dan masalah anak-anak," katanya menerusi satu kenyataan.
Semalam, media melaporkan bahawa Md Israk mempersoalkan kaedah agihan BAP 2027 yang mewajibkan ibu bapa hadir sendiri ke sekolah.
Persoalan itu dibangkitkan Md Israk susulan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengkritik kaedah sama ketika Kerajaan Negeri Johor menyalurkan BKJ.
Bagaimanapun, Jimmy sekali lagi menegaskan kaedah penyerahan BAP dan BKJ tidak boleh disamakan kerana BAP bukan sekadar menyerahkan bantuan kepada ibu bapa, sebaliknya memberi peluang kepada mereka mengetahui keadaan sekolah serta mendapatkan maklumat perkembangan anak-anak secara langsung daripada guru.
"Inilah usaha PMX membina budaya kebertanggungjawaban bersama antara ibu bapa dan pihak sekolah.
"Di kesempatan ini juga saya ingin maklumkan kepada Md Israk, tahun ini Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar BAP daripada RM150 kepada RM200 bagi sesi persekolahan 2027, melibatkan kira-kira 5.3 juta murid dengan peruntukan sekitar RM1 bilion.
"Ini bukti komitmen Kerajaan MADANI membantu meringankan beban ibu bapa, bukannya menyusahkan mereka seperti yang cuba digambarkan.
"Sebagai penutup, nasihat saya kepada Md Israk, jangan terlalu ghairah mencari modal politik sehingga perkara yang jelas pun sengaja dikelirukan dan tujuan baik PM mengenai pendidikan anak-anak kita diputarbelitkan," tempelak beliau lagi.




Comments