top of page

Nurul Izzah kenang jasa Dr Yaqub Mirza, menyumbang kepada ilmu, keadilan

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
15 minutes ago
2 min read
Nurul Izzah menyampaikan idea di sesi Philanthropy and Community Development di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
Nurul Izzah menyampaikan idea di sesi Philanthropy and Community Development di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Dr. M. Yaqub Mirza yang disifatkan sebagai insan penting dalam perjalanan hidupnya, khususnya dalam membina kecintaan terhadap ilmu serta perjuangan menegakkan keadilan.


Menerusi perkongsian sempena sesi Philanthropy and Community Development di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nurul Izzah berkata sumbangan kepada masyarakat tidak seharusnya dinilai berdasarkan bantuan material semata-mata.


Sebaliknya, ilmu yang dikongsi, masa yang diluangkan serta keberanian membela golongan yang dizalimi turut merupakan sumbangan besar yang memberi kesan mendalam kepada kehidupan masyarakat.


Beliau berkata demikian ketika diundang sebagai panel dalam sesi berkenaan bagi mengenang jasa dan ketokohan Allahyarham Dr. M. Yaqub Mirza.


Menurut Nurul Izzah, Allahyarham bukan sahaja berjasa besar dalam pembangunan institusi keilmuan Islam, malah memainkan peranan penting membawa kes pemenjaraan ayahandanya kepada Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Penahanan Arbitrari (UNWGAD).


Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, Nurul Izzah berkata pertemuan terakhir mereka berlaku kira-kira dua minggu sebelum pemergian tokoh berkenaan.


Dalam pertemuan itu, mereka sempat bertukar pandangan mengenai kerangka pemikiran Maqasid yang diketengahkan Sheikh Jasser Auda.


Beliau menyifatkan perbincangan tersebut sebagai antara perkara yang mendorongnya menyahut panggilan ilmu dan meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).


Nurul Izzah turut berkongsi bahawa setiap individu mungkin pernah bertemu insan yang tidak menyedari betapa besar makna kehadiran mereka dalam perjalanan hidup orang lain.


Bagi dirinya, Uncle Yaqub merupakan antara insan istimewa yang meninggalkan kesan sedemikian.


Beliau turut mendoakan agar Allah SWT merahmati roh Allahyarham, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang soleh.


Nurul Izzah berharap kekuatan untuk meneruskan amanah keilmuan yang ditinggalkan Allahyarham turut dikurniakan kepada semua pihak, sekali gus memastikan sumbangan ilmu dan perjuangan membela keadilan terus diwarisi generasi seterusnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page