top of page

99.5% sekolah nikmati liputan 4G - Fahmi

Writer: Noraini Nordin
Noraini Nordin
21 minutes ago
2 min read
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil

Sebanyak 10,207 daripada 10,259 sekolah di seluruh negara kini menikmati liputan rangkaian 4G, bersamaan 99.5 peratus kadar liputan kawasan berpenduduk, sekali gus memperlihatkan perkembangan peluasan infrastruktur komunikasi ke sektor pendidikan.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya memberi tumpuan kepada tiga aspek utama bagi memastikan sekolah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mendapat capaian internet yang stabil dan berkualiti.


Tiga aspek berkenaan merangkumi pembangunan infrastruktur digital menerusi inisiatif JENDELA dan Point of Presence (PoP), penyediaan infrastruktur internet berkelajuan tinggi serta pembahagian tanggungjawab antara Kementerian Komunikasi dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Menurut Fahmi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang melaksanakan JENDELA Kumpulan 1 secara berperingkat mulai November ini, melibatkan pembinaan 1,000 tapak di seluruh negara termasuk 12 tapak di Johor.


Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan JENDELA 2 tidak dikhususkan kepada penyediaan capaian internet di sekolah, sebaliknya memberi keutamaan kepada kawasan berpenduduk yang masih belum mendapat liputan komunikasi, khususnya di luar bandar dan pedalaman.


Katanya, pemilihan teknologi bersesuaian atau fit for purpose mengambil kira kepadatan penduduk, bentuk muka bumi serta ketersediaan infrastruktur sedia ada.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


PoP Fasa 2 capai 99.07 peratus siap


Dalam perkembangan berkaitan, projek gentian optik Point of Presence (PoP) bernilai RM4.6 bilion turut dilaksanakan bagi menyediakan infrastruktur internet kepada sekolah, premis kerajaan, kediaman dan komuniti setempat dalam lingkungan 2.5 hingga tiga kilometer dari lokasi projek.


Fahmi berkata, kesemua 677 lokasi PoP Fasa 1 telah siap dilaksanakan, dengan 630 lokasi daripadanya terletak berhampiran sekolah.


Bagi Fasa 2 pula, sebanyak 2,985 daripada 3,013 lokasi berhampiran sekolah telah disiapkan, bersamaan 99.07 peratus.


Baki pelaksanaan projek itu dijangka diselesaikan sepenuhnya menjelang 31 Disember ini.


Menerusi inisiatif PoP, perkhidmatan internet berkelajuan sehingga 100Mbps turut ditawarkan pada harga serendah RM49 sebulan.


Mengulas pembahagian tanggungjawab, Fahmi menjelaskan Kementerian Komunikasi menyediakan infrastruktur internet sehingga ke kawasan sekolah, manakala urusan perolehan dan langganan perkhidmatan internet di dalam kawasan sekolah terletak di bawah tanggungjawab KPM.


Menurutnya, pihak sekolah dan KPM mempunyai tanggungjawab menentukan penyedia perkhidmatan serta pilihan langganan yang bersesuaian.


Usaha berkenaan mencerminkan pendekatan kerjasama antara kementerian bagi memperluas akses digital, khususnya kepada komuniti pendidikan di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page