PRN Sabah: Tampil calon pelbagai latar, bukti KEADILAN parti inklusif
- Suara Keadilan
- 25 minutes ago
- 1 min read

Wanita KEADILAN Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang diumumkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menerusi satu kenyataan, mereka menyifatkan pencalonan tokoh yang mewakili pelbagai pengalaman mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan sebenar rakyat Sabah sekaligus mencerminkan komitmen parti untuk membawa pembaharuan ke negeri itu.
"Kami juga percaya, calon-calon KEADILAN akan terus memperjuangkan nilai keadilan sosial, menegakkan maruah rakyat, serta memperkukuh semangat perpaduan Sabah dalam kerangka Malaysia MADANI," tegas mereka.
Dalam kenyataan sama, mereka turut merakamkan penghargaan atas pencalonan Ketua Wanita KEADILAN negeri, Datin Rufinah Pengeran, di kerusi Dewan Undangan (DU) N44 Tulid.
Mereka menyifatkan pencalonan Rufinah sebagai lambang penyertaan aktif dan kepimpinan wanita dalam perjuangan politik tanah air.
"Keberanian dan komitmen Rufinah berkhidmat kepada rakyat Sabah membuktikan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap, tetapi penggerak utama dalam agenda perubahan yang inklusif dan berprinsip.
"Wanita KEADILAN memberikan sokongan penuh kepada beliau dan seluruh jentera parti untuk memastikan kemenangan rakyat tercapai dan misi KEADILAN Harapan Urang Sabah direalisasikan," jelas kenyataan tersebut.





