Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutus ucapan tahniah kepada KEADILAN Sabah dan Warisan Plus yang telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan kuasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, semalam.
Menurut Anwar, KEADILAN menghormati keputusan yang telah dibuat oleh rakyat Sabah dan pada masa sama berharap proses pembentukan Kerajaan Negeri dapat dikemudi dengan aman, bijaksana dan penuh hikmah.
"Saya ingin ucapkan tahniah kepada rakan-rakan Warisan Plus, khususnya Datuk Seri Shafie Apdal dan Parti Warisan Sabah yang telah memenangi 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP memenangi enam kerusi dan UPKO yang memenangi satu kerusi.
"Tahniah juga diucapkan buat Datuk Christina Liew, Pengerusi KEADILAN Sabah di atas kejayaan KEADILAN Sabah mempertahan dua kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, serta usaha baik terutama di DUN Sook yang melihat peningkatan hampir dua kali ganda peratus undi buat KEADILAN berbanding 2018," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Anwar turut mengingatkan kepada semua pihak agar berwaspada dan sentiasa mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan isu kuarantin dan saringan terutama kepada individu yang akan berangkat pulang ke Semenanjung.
"Saya pohon semua pihak termasuk pimpinan parti akur dengan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia berkait Covid-19 terutama dalam isu saringan dan kuarantin.
"Peningkatan mendadak kes terutama jangkitan dalam komuniti amat membimbangkan, dan saya berdoa agar rakyat Malaysia sentiasa patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) KKM dan dilindungi dari wabak ini," katanya lagi.
PRN Sabah yang berakhir pada 5.30 petang semalam menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah berjaya memenangi pilihan raya itu dan dijangka akan membentuk kerajaan negeri yang baharu lewat hari ini.
Comentarios