PRN Sabah: Pengundi lebih percaya calon 'buat kerja' berbanding logo parti
- Suara Keadilan

- 11 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Di sebalik suhu politik nasional yang hangat, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 Sabtu lalu memperlihatkan pengundi lebih percaya kepada calon ‘buat kerja’ dan faham denyut nadi negeri, berbanding sekadar bersandar pada logo parti.
Ketua Cabang KEADILAN Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman yang turut menyertai beberapa kempen di sekitar Lahad Datu dan Tawau berpendapat, calon yang dikenali pengundi mudah meraih sokongan pada PRN kali ini berbanding yang hanya bergantung kepada nama besar kepimpinan di Putrajaya.
Selain itu, katanya, terdapat sentimen dalam kalangan pengundi bahawa parti-parti politik yang dilihat ‘lebih mesra’ Semenanjung dan tidak begitu sesuai dengan realiti Sabah, ditolak.
"Sebab itu kalau kita lihat parti-parti yang lebih mesra Semenanjung, tak kisah sama ada kerajaan atau pembangkang, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) waima Barisan Nasional (BN) sendiri banyak calon yang tumbang.
"Kalau kita lihat calon-calon yang diletakkan oleh parti-parti mesra Semenanjung, hampir semua calon-calon itu anak Sabah, bukan orang luar.
"PH juga meletakkan semua calon orang Sabah, BN, PN, DAP, Pas pun sama (letak calon anak Sabah), tetapi kali ini orang Sabah lebih fokus kepada faktor calon.
"Calon yang mereka yakin boleh buat kerja, kalau dikatakan calon itu datang daripada parti lokal yang kuat, itu akan memberikan kredit lebih kepada potensi calon berkenaan," katanya dalam satu video di TikTok.
Menurut Syed Badli lagi, faktor calon menjadi antara sebab beberapa calon Bebas dan calon berprofil tinggi, termasuk yang dilihat pro-Semenanjung tetap berjaya meraih kemenangan di Sabah.
"Ia termasuklah calon Pas di (DUN) Karambunai (Datuk Dr Aliakhbar Gulasan) yang perlu diberi kredit kerana sememangnya beliau buat kerja di kawasan itu.
"Orang Karambunai lihat prestasi, jadi kerana itu beliau berpotensi menang di Karambunai. Begitu juga Datuk Jamawi di DUN Melalap, belia pro-PH, orang-orang di (DUN) Melalap kenal beliau dengan kegiatan NGO yang sangat aktif dan bekerja di bawah, maka orang memilihnya.
"Satu lagi calon yang menarik di Sabah adalah calon di DUN Kukusan (Datuk Rina), beliau lawan atas tiket Bebas (pada masa sama) ada empat parti besar iaitu GRS, Warisan, STAR dan BN, parti itu semua kalah sebab orang Kukusan menilai daripada prestasi kerja sebelum ini," ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Syed Badli turut berkongsi pengalamannya mengenai suasana dan reaksi khalayak ketika berceramah di beberapa lokasi sekitar Lahad Datu dan Tawau sepanjang PRN Sabah yang lalu.
Katanya, apabila beliau menyentuh sentimen politik nasional, tumpuan masyarakat di sana lazimnya hanya sekadar mendengar, namun sewaktu isu berkaitan Sabah diketengahkan, khususnya mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), perhatian hadirin didapati jauh lebih tertumpu.









Comments