PRN Sabah: 'Kita mahu menang, mahu tambah kerusi' - Mustafa Sakmud
- Suara Keadilan
- 43 minutes ago
- 1 min read

KEADILAN yang merupakan parti peneraju Kerajaan Persekutuan berada dalam posisi terbaik untuk menambah kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada hujung tahun ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata beliau telah beberapa kali mencadangkan agar Pemilihan KEADILAN ditangguhkan untuk diberi tumpuan khusus kepada PRN sabah.
Tujuannya, kata beliau untuk KEADILAN menambah kerusi DUN daripada hanya dua yang dimenangi dalam beberapa pilihanraya sebelum ini.
"Saya dalam beberapa siri mesyuarat, saya suarakan mohon fokus Sabah. Sehingga mesyuarat dalam Biro Politik saya kata bolehkah kita tangguh Pemilihan (KEADILAN) ini. Tetapi itu keputusan bersama (teruskan pemilihan), kita setuju, tetapi kami sudah tidak boleh tangguh lagi (lancar jentera).
"Macam mana mahu tunggu, kita mahu menang, mahu tambah kerusi," katanya dalam ucapan Pelancaran Jentera KEADILAN PRN Sabah, malam tadi.
Beliau membandingkan persiapan yang dilakukan BN Sabah, dengan Presiden UMNO-BN yang telah pun melancarkan jentera di peringkat Bahagian, maka katanya KEADILAN Sabah tidak punya banyak pilihan selain melancarkan jentera pilihanraya bagi menaikkan semangat bekerja keras untuk kemenangan di Sabah.
Selain itu, Mustapa turut mahu pemimpin dari negeri lain, khususnya Semenanjung membantu KEADILAN Sabah dalam bentuk material mahupun buah fikiran.
"Saya mahu yang lain tolong bantu kami. Dari segi pemikiran kita ada keperluan, (bantuan) dana sedikit sebanyak.
"Inilah kesempatan terbaik untuk KEADILAN Sabah meningkatkan bilangan kerusi.
"Ini kali lah. Bukan lain kali," katanya lagi.