PRN Sabah: KEADILAN tidak akan guna logo parti lain


Apabila KEADILAN dicadangkan supaya menggunakan logo Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, ia dilihat sebagai satu penghinaan kepada mereka.


Ketua Penerangan KEADILAN Sabah, Simsudin Sidek berkata ada pihak tertentu yang sengaja menimbulkan provokasi politik murahan dengan tujuan menghancurkan kerjasama dan persefahaman antara Warisan, UPKO dan Pakatan Harapan (PH).


"Cadangan itu bersifat regresif dan tidak strategik serta mengundang malapetaka kepada kelangsungan hidup parti itu di Sabah.


"KEADILAN Sabah mempunyai keahlian lebih 170,000 orang iaitu kedua tertinggi selepas Selangor.


"Justeru, cadangan tersebut merupakan penghinaan kepadan ahli-ahli dan penyokong akar umbi yang menghayati prinsip perjuangan parti," katanya dalam kenyataan.


Pada masa sama, Simsudin turut mengingatkan bahawa KEADILAN mampu bertanding atas lambang sendiri kerana sudah lama berjuang dan membela hak rakyat sekali gus cukup dikenali dalam kalangan pengundi.


"KEADILAN sudah wujud lebih 20 tahun dan bukan sebuah parti yang baru ditubuhkan hanya beberapa ketika menjelang PRU-14 yang lalu.


"Logo merupakan simbol idealisma dan identiti sesebuah parti yang sangat penting kerana ia membawa makna cogan perjuangan parti yang membina hubungan yang kuat dengan pendokong perjuangan parti. Ia membantu seseorang pengundi untuk mengenali parti dalam satu pilihan raya," katanya.


Simsudin juga menganggap jika KEADILAN menggunakan logo parti sendiri, ia bukan didorong atas sifat ego tetapi berlandaskan prinsip dan perjuangan parti sendiri yang lebih menyeluruh dan melibatkan rakyat serta negara secara keseluruhannya.


"Cadangan supaya KEADILAN menggunakan logo Warisan pada PRN ini bolehlah diumpamakan menyuruh parti UMNO menggunakan logo Bersatu dalam sesuatu pilihan raya yang sudah tentu amat tidak wajar.


"Sesuatu yang amat logik untuk kita lihat penggunaan logo parti gabungan yang sah untuk menggambarkan semangat kesatuan dan kesepakatan politik yang sebenar, bukannya logo parti lain untuk justifikasi alasan yang sama," katanya.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio