PRN Sabah: KEADILAN tambah dua wakil pemuda 24 jam sebelum penamaan calon
- Suara Keadilan

- 5 days ago
- 2 min read

Oleh: Noraini Nordin
Sorotan PRN Sabah ke -17: Gelanggang pertarungan sudah dibuka untuk calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya (PRN) Sabah ke-17 merebut hati pengundi bagi 73 Kerusi DUN yang dipertandingkan.
Bagi KEADILAN ada dua kerusi lagi tambahan telah diumumkan secara rasmi hari ini iaitu N26 Moyog yang diwakili oleh Remystar Taylor dan N06 Bandau diwakili Zaidi Jatil.
Dengan pertambahan dua kerusi itu, dalam PRN kali ini KEADILAN mempertaruhkan 12 kerusi bagi mewakili parti tersebut.
Sebelum ini KEADILAN telah mengumumkan sepuluh calon-calonnya iaitu:
1. Datuk Peto Galim – (N18 Inanam)
2. Awang Husaini Sahari – (N23 Petagas)
3. Datuk Ruji Ubi – (N72 Merotai)
4. Datin Rufinah Pengeran – (N44 Tulid)
5. Romansa Lamin – (N61 Segama)
6. Abdul Said Pimping – (N50 Gum Gum)
7. Datuk George Hiew – (N54 Karamunting)
8. Datuk Jamawi Jaffar – (N42 Melalap)
9. Datuk Yamani Hafez Musa – (N.35 DUN Sindumin)
10. Thonny Chee – (N20 Api-Api)
Terkini dalam kenyataan media Pengerusi Pimpinan KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud menjelaskan penambahan dua calon itu untuk memastikan kekuatan HARAPAN Sabah terus kukuh dan seimbang.

Beliau berkata, ini mengambil kira perkembangan politik terkini, termasuk pengumuman tambahan calon oleh rakan komponen di peringkat pusat mahupun negeri seperti BN dan GRS maka KEADILAN Sabah turut melakukan penyelarasan strategik bagi memastikan kekuatan HARAPAN di Sabah seimbang.
"Seiring dengan dinamik baharu ini dan hasil rundingan yang diteliti dengan penuh tanggungjawab, saya ingin mengumumkan bahawa KEADILAN Sabah di bawah payung HARAPAN menambah dua lagi calon bagi Pilihan Raya Dewan Umum Undangan Sabah ke-17," katanya.
KEADILAN angkat ikon muda
Beliau berkata, penambahan kerusi bukan sekadar strategi pengukuhan jentera, tetapi mencerminkan komitmen KEADILAN Sabah untuk mengangkat tokoh belia tempatan sebagai barisan kepimpinan baharu dalam PRN pada kali ini.

"Golongan muda telah lama menjadi tulang belakang gerakan reformasi dan kini tiba masanya mereka diberi ruang memimpin, membawa idea segar dan tenaga baharu untuk mengangkat martabat Sabah.
"KEADILAN Sabah percaya bahawa gabungan suara belia dan tokoh yang berpengalaman mesti disatukan dalam proses membuat dasar serta dalam menentukan halatuju pembangunan Sabah," ujarnya dalam kenyataan media.
Mustapha menjelaskan, dengan memberi peluang kepada calon-calon berwibawa, bukan sahaja dapat memperluas representasi politik, tetapi turut memastikan aspirasi rakyat Sabah diterjemah menjadi tindakan dan dasar yang progresif.

"Saya menyeru seluruh jentera KEADILAN dan HARAPAN Sabah untuk menyambut langkah ini dengan semangat perpaduan dan memperkemas gerak kerja bagi memastikan calon-calon muda kita mendapat dokongan padu daripada rakyat.
"Inilah masa untuk membuktikan bahawa KEADILAN benar-benar komited melahirkan pemimpin yang berintegriti, berwawasan dan dekat dengan denyut nadi rakyat," katanya.
Lonjakkan sokongan pengundi muda
Rumusannya, dengan penyertaan dua calon orang muda ini, sudah pasti dapat melonjakkan sokongan pengundi-pengundi muda kepada KEADILAN kerana parti itu dilihat memberi peluang dan ruang kepada golongan muda sebagai pelapis kepimpinan negeri.
Tiada alasan lagi pengundi muda untuk tidak memberi sokongan kepada KEADILAN bukan sahaja di Bandau dan Moyog, tetapi juga di semua kerusi yang ditandingi parti itu.









Comments