PRN Sabah: Jangan umum kerusi sepihak, agihan ikut keputusan Majlis Presiden PH
- Suara Keadilan
- Jun 24
- 2 min read

Pemimpin komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak wajar memilih menetapkan kerusi untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum diputuskan dalam rundingan di peringkat Majlis Presiden PH.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN Penampang, Eldridge Laurence Timis (gambar) berkata, kenyataan pemimpin komponen PH-Pertubuhan Maju Bersatu Sabah (UPKO), Datuk Donald Peter Mojuntin yang disiarkan media baru-baru ini berhubung hasrat beliau untuk bertanding di DUN Moyog - yang menjadi kerusi tradisi KEADILAN - tidak sepatutnya berlaku pada waktu gabungan itu memerlukan kesepaduan bagi menjamin kemenangan di Sabah.
"KEADILAN Penampang mengambil maklum kenyataan Datuk Donald Peter Mojuntin berhubung hasrat beliau untuk bertanding di DUN Moyog. KEADILAN Penampang berpendapat kenyataan tersebut seolah-olah mendahului proses rundingan rasmi dalam Pakatan Harapan.
"KEADILAN Penampang menegaskan bahawa semua pihak dalam Pakatan Harapan wajib menghormati proses rundingan kerusi sebagaimana digariskan dalam polisi rasmi gabungan ini.
"Sebarang kenyataan atau pengumuman berhubung agihan kerusi mestilah dibuat berdasarkan keputusan Majlis Presiden PH, bukannya secara unilateral oleh mana-mana individu atau parti. Tindakan melangkaui proses rasmi ini boleh mencetus kekeliruan di kalangan rakyat serta menggugat keharmonian dan kekuatan gabungan," katanya dalam kenyataan.
Menurut Naib Ketua Cabang Penampang itu, sebagai rakan sekutu dalam PH, KEADILAN sentiasa berpegang teguh kepada prinsip musyawarah dan akan terus menyokong sesiapa sahaja calon PH yang dipersetujui untuk bertanding di kerusi Moyog demi memastikan kemenangan gabungan.
"Kami berharap UPKO juga kekal menghormati semangat permuafakatan ini dengan memberi ruang kepada proses rundingan rasmi PH, selaras dengan dasar serta polisi gabungan yang sedia ada.
"KEADILAN tidak akan teragak-agak untuk mempertahankan hak dan kedudukan kerusi PH di Moyog berdasarkan konsensus rasmi PH yang diputuskan secara kolektif.
"Kami ingin mengingatkan semua rakan dalam gabungan bahawa sebarang kenyataan atau pengumuman berkaitan agihan kerusi mesti disalurkan melalui saluran PH yang sah, bukan secara unilateral atau spekulatif," katanya lagi.
Tegas Laurence Timis, fokus utama KEADILAN Penampang pada waktu ini adalah untuk memperkukuhkan kekuatan PH di Sabah, khususnya di DUN Moyog demi menjamin kemenangan dalam PRN ke-17.
Kepentingan gabungan, katanya, harus diutamakan melebihi kepentingan mana-mana parti atau individu.
Media tempatan Sabah sebelum ini melaporkan Timbalan Presiden UPKO, Datuk Donald Mojuntin mengumumkan kesediaan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N26 Moyog pada PRN ke 17 ketika perasmian majlis Pesta Kaamatan Parlimen Penampang di Tamu Desa Inobong baru-baru ini.
Donald menyatakan bahawa beliau sebelum ini pernah mewakili kawasan Moyog dan dengan sokongan akar umbi yang kuat, beliau bersedia untuk berkhidmat semula untuk pembangunan wilayah itu.
Comments