PRN Sabah: BN, PH sepakat kerjasama politik
- Suara Keadilan
- May 9
- 1 min read

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju untuk menjalin kerjasama politik secara rasmi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) yang dijangka diadakan menjelang hujung 2025.
Menurut kenyataan bersama Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, kerjasama tersebut telah dipersetujui dalam perbincangan antara Pengerusi PH dan Pengerusi BN pada semalam.
"Menyuarat kepimpinan tertinggi antara Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Mei 2025 telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.
"Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana mana parti lain yang akan diperincikan bersama di antara kepimpinan PH dan BN Negeri Sabah," katanya.
Kenyataan itu juga menyebut keputusan dalam kerjasama itu akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi di peringkat kebangsaan.
"Segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan Barisan Nasional di peringkat kebangsaan," kata kenyataan itu.
Sebelum ini dalam Kerajaan Perpaduan, Sabah diwakili oleh Gabungan Rakyat Sabah. BN Sabah tidak menjalin kerjasama rasmi dengan PH mahupun GRS di peringkat negeri.
Comments