PRN Sabah: Biro Politik KEADILAN adakan mesyuarat khas
- Suara Keadilan
- 9 minutes ago
- 1 min read

Biro Politik KEADILAN bakal mengadakan mesyuarat khas pada 29 Mei ini merangka program untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat itu akan diadakan sebaik sahaja mesyuarat pemimpin ASEAN – yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur – selesai dan akan menumpukan perhatian kepada pengagihan kerusi serta strategi kerjasama dengan rakan gabungan serta Kerajaan Negeri.
"Mungkin 29 haribulan kita akan adakan mesyuarat khas Biro Politik untuk rangka program PRN Sabah," katanya dipetik pada ucapan penggulungan di Kongres Nasional KEADILAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru pada Sabtu.
Sementara itu Anwar berkata perbincangan telah diadakan dengan Presiden UMNO dan Pengerusi Pengerusi BN (Barisan Nasional) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, serta Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor bagi memastikan kerjasama yang lebih tersusun dapat diwujudkan menjelang PRN tersebut.
"Tujuannya ialah supaya kita diberikan peluang untuk sama-sama bekerja membela nasib orang Sabah," tegasnya.
PRN Sabah dijangka diadakan pada bila-bila masa pada tahun ini susulan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor genap lima tahun pada Oktober depan.
Terdahulu, Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar berkata parti itu kini menyasarkan untuk bertanding 13 dari 73 kerusi DUN di Sabah.
BN Sabah telah mengumumkan mereka akan bekerjasama dengan PH bagi menghadapi pilihan raya negeri kali ini.