PRN Sabah: Akar umbi kukuh kerjasama antara parti gabungan
- Suara Keadilan
- 1 hour ago
- 1 min read

Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) peringkat akar umbi di Sabah diseru memperkukuh kerjasama dengan parti-parti gabungan Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.
Naib presiden KEADILAN Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kemenangan gabungan Kerajaan Perpaduan pada pilihanraya itu sangat penting bagi memberi isyarat kepada rakyat dan memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
"Dengan kejayaan di Sabah dan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang kukuh, kita berjaya melepasi satu halangan besar. Ini akan menjadi isyarat penting bahawa Kerajaan Perpaduan mampu mentadbir negara dengan baik.
"Saya yakin jika kita berjaya di Sabah, kita akan dapat pastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Perdana Menteri untuk penggal kedua selepas PRU16," katanya dipetik.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata begitu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Selain Amirudin, turut hadir ke acara tersebut antaranya calon Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud; dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Seri Panglima Christina Liew Chin Jin.