PRN Sabah: 596 calon mulakan kempen rebut 73 kerusi DUN - SPR
- Suara Keadilan

- 14 hours ago
- 2 min read

Sebanyak 596 calon dengan 71 daripadanya wanita disahkan bertanding bagi merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17 hari ini, demikian menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun
Beliau berkata angka tersebut merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah pilihan raya negeri Sabah sekali gus mencerminkan demokrasi yang semakin matang dan kepelbagaian pilihan untuk 1.7 pengundi Sabah membuat penentuan.
"Selepas tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi seramai 596 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam PRU Dewan Undangan Negeri Sabah ke-17," katanya.
Ramlan berkata SPR telah menerima kesemua borang pencalonan tersebut tanpa sebarang penolakan dengan menyaksikan calon Bebas menduduki tempat teratas iaitu 74 orang.
Terdahulu proses proses penamaan calon dilakukan di 25 Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh negeri itu bermula pukul 9 pagi.
"Proses penamaan calon pada hari ini telah berjalan dengan lancar. SPR merakamkan ucapan tahniah kepada semua Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan yang terlibat."
Jumlah calon yang tinggi itu diwakili oleh 24 parti politik, menunjukkan landskap politik Sabah yang sangat dinamik dan kompetitif.
Tempat kedua tertinggi mengemukakan calon ialah Parti Warisan Sabah yang bertanding di kesemua 73 kerusi diikuti Parti Impian Sabah-PIS (72 calon).
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula menampilkan 55 calon, Barisan Nasional (BN) 45 calon, dan Pakatan Harapan (PH) 22 calon.
Pilihan raya negeri kali ini juga menyaksikan semua 73 kawasan DUN akan menyaksikan pertandingan pelbagai penjuru.
Sebanyak 13 kawasan menyaksikan pertandingan enam penjuru, manakala 10 kawasan masing-masing mempunyai tujuh dan sembilan penjuru.
Satu kawasan berdepan persaingan 14 penjuru dan dua kawasan (14 penjuru).
Dari aspek demografi, calon lelaki masih mendominasi dengan 525 orang (88%) berbanding calon wanita seramai 71 orang (12%).
Dari segi umur, majoriti calon adalah dari kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, seramai 205 orang. Mereka diikuti oleh calon berumur 50-59 tahun (178 orang) dan 40-49 tahun (146 orang).
Calon paling muda berumur 24 tahun dari DUN N.62 Silam (PKS) manakala calon paling veteran berusia 86 tahun dari DUN N.40 Bingkor (PKS).
Tempoh berkempen secara rasmi bermula selepas pengisytiharan hari penamaan sebelum berakhir pada 28 November, pukul 11.59 malam.
"SPR menubuhkan 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti kempen.
"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah membuka Bilik Gerakan 24 jam mulai 10 November sehingga 5 Disember di pejabat-pejabatnya di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau dan Lahad Datu untuk menerima sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa," kata Ramlan.









Comments