PRN Sabah: 300 ahli STAR isytihar sertai KEADILAN di Sepanggar
- Suara Keadilan
- 45 minutes ago
- 1 min read

Dasar parti KEADILAN di Sabah yang konsisten memperjuangkan isu-isu utama rakyat seperti autonomi negeri, pembangunan ekonomi wilayah serta hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus mendapat tempat di hati warga tempatan.
Perkara itu terbukti apabila seramai 300 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Darau mengisytiharkan penyertaan mereka ke dalam KEADILAN sebagai wadah politik pilihan mereka.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah Datuk Mustapha Sakmud, menyifatkan perkembangan positif itu bukti semakin ramai rakyat termasuk pemimpin tempatan, mula melihat KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) sebagai parti politik yang dapat diharapkan untuk membela hak Sabah serta memperjuangkan masa depan rakyat
"Ini bukti keyakinan yang semakin meningkat terhadap KEADILAN sebagai parti yang benar-benar memperjuangkan agenda rakyat dan mengangkat martabat Sabah dalam kerangka Malaysia MADANI," katanya menerusi perkongsian di laman Facebook beliau.
Penyertaan besar-besaran diketuai Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik, bekas Ketua Bahagian STAR Darau berlangsung di BTC Bistro, Inanam Selasa lalu, dan disambut dalam suasana penuh semangat serta kekeluargaan oleh Ketua Cabang KEADILAN Sepanggar, Datuk Peto Galim.
Ia bersempena Siri Jelajah Harapan Urang Sabah bagi Bahagian Pantai Barat dihadiri ratusan penduduk setempat yang hadir bagi mendengar penerangan mengenai hala tuju perjuangan KEADILAN Sabah dan dasar Kerajaan MADANI.





