Agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan parti dalam Kerajaan Perpaduan bakal dimuktamadkan dalam tempoh singkat.
Perkara itu dimaklumkan Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan kali kedua di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam tadi.
Mengulas lanjut perkara itu Anwar menjelaskan, ia akan dibincang secara terperinci oleh jawatankuasa yang dibentuk membabitkan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"(Agihan kerusi PRN) dalam proses.. akan dimuktamad dalam masa singkat. Kemajuan baik. Tapi kita tak bincang 'detail' (dalam mesyuarat malam ini) sebab ada jawatankuasa yang terlibat akan berbincang," katanya.
Selain Perdana Menteri, turut hadir dalam sidang media itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Terdahulu pada Khamis, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Pakatan Harapan akan menggunakan formula penyandang kerusi kepunyaan parti yang menang dalam pengagihan kerusi.
Gabungan itu juga akan akan melihat dari segi prestasi pilihanraya lalu dengan mengambil kira aspek 'winnability' (boleh menang).
"Ketiga, ialah ruang untuk kita teruskan rundingan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN), jadi parameter itu sedikit berbeza dan apa yang penting kerusi penyandang itu jelas, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)," katanya
Comentarios