top of page

PRN referendum tolak politik bebal, "tebuk bahtera sendiri"

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
Jun 13
2 min read

Rakyat Negeri Sembilan diseru menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai referendum untuk menolak politik bebal dan toksik yang disifatkannya sebagai punca kepada ketidakstabilan politik negara.


Timbalan Presiden AMANAH Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa (gambar) berkata, rakyat perlu menghantar mesej jelas bahawa mereka menolak tindakan pihak tertentu yang sanggup “menebuk bahtera sendiri” demi kepentingan politik sehingga mencetuskan kecelaruan dan mengganggu kestabilan yang diperlukan untuk membangunkan negara.


"Orang Negeri Sembilan jangan anggap ini hanyalah pilihanraya untuk Negeri Sembilan. Orang Johor jangan menganggap ini hanyalah untuk orang Johor.


"Ini adalah referendum seluruh rakyat untuk kita mengatasi kecelaruan ini supaya Negeri Sembilan dan Johor membuktikan kita memilih kestabilan dan kita memilih prinsip untuk menjaga negara ini," katanya ketika berucap pada pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan di Karisma Arena, Seremban malam tadi.


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat mengumumkan PRN Negeri Sembilan diadakan pada 1 Ogos susulan pembubaran DUN pada 4 Jun lalu.


Mujahid berkata, perkembangan politik mutakhir memperlihatkan sikap tidak konsisten sesetengah pihak yang pada satu ketika menjadi rakan politik namun pada masa lain bertindak sebagai lawan sehingga mengelirukan rakyat.


"Yang di Persekutuan kita jadi kawan, yang di negeri kita lawan. Yang dulu kita lawan, sekarang kita jadi kawan. Kejap-kejap kawan, kejap-kejap lawan. Ini kontradiksi," katanya.


Beliau turut membidas tindakan UMNO Negeri Sembilan yang didakwa menarik dan mengembalikan sokongan politik sesuka hati sehingga mewujudkan ketidakpastian dalam pentadbiran.


"Ini betul-betul rosak habis kita punya bahtera.


"Kejap tarik, kejap sokong balik, kejap tarik. Ini huru-hara dan inilah yang kita kena uruskan, inilah yang kita kena tangani," katanya.


Menggunakan analogi sebuah kapal yang ditebuk dari dalam, Mujahid berkata tindakan sedemikian akhirnya akan menjejaskan semua pihak tanpa mengira kedudukan mereka.


"Jangan sebut itu tepuk atap, itu bukan tepuk atap. Itu tebuk kapal.


"Orang yang duduk di bawah, mereka nak minum air terpaksa naik ke atas. Lalu ada yang kata, takkan setiap kali nak minum air kena naik atas, kita tebuklah supaya boleh minum air di bawah. Satu kapal jatuh (karam)...itulah yang berlaku," katanya.


Menurut beliau, rakyat tidak boleh berputus asa dengan situasi politik semasa, sebaliknya perlu menolak budaya politik yang bercanggah dengan prinsip perpaduan dan kestabilan.


"Kita kena tolak politik bebal. Politik bebal ini pada satu masa dia cakap nak perpaduan, tapi pada waktu sama dia tebuk.


"Pada waktu yang sama dia bercakap tentang perpaduan ummah, perpaduan Melayu, tapi di sana sini dia menyebarkan fitnah dan pembohongan," katanya.


Mujahid berkata, Pakatan Harapan menawarkan kestabilan politik serta suasana kehidupan yang aman dan damai untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.


"Alhamdulillah, Pakatan Harapan menawarkan kepada rakyat kestabilan, menawarkan kepada rakyat supaya kita hidup dalam keadaan aman, dalam keadaan damai.


"Setiap kaum, bangsa, agama dan keturunan, itu sebenarnya adalah kekuatan Pakatan Harapan," katanya.


Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh jentera parti komponen kerajaan perpaduan bekerja keras mempertahankan politik berasaskan prinsip dan nilai, serta menolak budaya kebencian.


"Kita mempertahankan politik prinsip dan nilai, dan kita menolak sebarang politik toksik seperti kebencian kaum, kebencian agama.


"Dan sekali kita lari daripada prinsip ini, bukanlah nama kita Pakatan Harapan," katanya.


Beliau yakin kemenangan di Negeri Sembilan dan Johor akan menjadi isyarat penting bahawa rakyat memilih kestabilan politik serta masa depan negara yang lebih terjamin.


"InsyaAllah kemenangan di Negeri Sembilan dan di Johor adalah kemenangan untuk masa depan negara ini," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page