PRN: Pilih parti yang pandai urus ekonomi - Chang Lih Kang
- Suara Keadilan
- Jul 26, 2023
- 1 min read

Perkembangan ekonomi perlu dipertimbangkan untuk memilih kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri kali ini buat pengundi di Negeri Sembilan.
Menurut Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, Kerajaan Pakatan Harapan telah membawa masuk banyak pelaburan di Negeri Sembilan sepanjang 5 tahun pemerintahan mereka, dan dengan pertambahan hasil itu diwujudkan pula polisi merakyatkan ekonomi dengan pelbagai skim bantuan kepada rakyat.
"Saya nak sampaikan kepada semua untuk pilih Kerajaan Negeri yang pandai urus ekonomi.
"Ekonomi adalah agenda yang paling penting untuk kita pastikan rakyat cukup makan
"Dan kalau kita nak pastikan mereka cukup makan kena pandai urus ekonomi," katanya dalam ceramah Jelajah Madani DUN Sri Tanjung, di Port Dickson, malam tadi.
Justeru itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu menyarankan agar rakyat membanding pentadbiran negeri yang diterajui Pakatan Harapan berbanding tiga negeri yang dipimpin oleh gabungan Pas-Bersatu sejak 5 tahun lalu.
"Kita tak payah jadi pakar ekonomi. Hanya bandingkan tiga negeri Penang (Pulau Pinang), Selangor dan Negeri Sembilan.
"Kalau kita bandingkan tiga lagi, negeri diperintah oleh mereka (Pas-Bersatu), kita boleh bandingkan siapa yang boleh uruskan ekonomi," katanya.
Oleh itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu menyeru pengundi di Negeri Sembilan memilih calon yang dibarisi Kerajaan Perpaduan.
"Saya menyeru kepada semua untuk memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang diketuai Tok Min (Datuk Seri Aminuddin Harun).
"Barisan calon DUN yang dipertandingkan terdiri daripada calon profesional dan berkaliber, jadi saya harap pengundi boleh buat pilihan yang betul," ujarnya lagi.
Pada 21 Julai lalu, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 6 calon PKR bagi DUN Negeri Sembilan dengan menamakan penyandang DUN Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai calon Menteri Besar.
Comments