Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos, esok, merupakan peluang kepada rakyat di 6 negeri menentukan pentadbir masa hadapan di negeri mereka.
Sehubungan itu Pengerusi Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan, terutama golongan muda, agar memilih pemerintah yang baik, mementingkan kestabilan negara dan mampu menyediakan pekerjaan kepada rakyat.
"Kepada pengundi, termasuk anak anak muda yang baru mendapat peluang yang diberikan hak untuk memilih, saya percaya (mereka) dapat memilih dengan bijak, menjaga keamaman negara, kestabilan negara dan parti serta kerajaan yang boleh memulihkan ekonomi. Memberi jaminan pekerjaan kepada mereka dan yang lebih utama memberi keselesaan hidup kepada diri, keluarga dan Malaysia tercinta.
"Ambillah tanggungjawab ini sebagai sesuatu yang serius untuk menjamin suatu kemajuan bagi negara, dan juga keamanan dan perpaduan rakyat seluruhnya," kata Pengerusi Pakatan Harapan itu dalam satu siaran media hari ini.
Presiden KEADILAN itu juga mengharapkan PRN di 6 negeri juga Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu esok akan berjalan lancar dan rakyat akan membuat keputusan terbaik.
"Pastikan memilih wakil atau calon (terbaik) yang didukung untuk dapat menerajui Kerajaan Negeri (atau) sebagai anggota parlimen di Kuala Terengganu.
"Saya doakan ke hadrat Allah s.a.w, mudah mudahan (PRN) dapat berjalan dengan lancar dan baik dan kita tenang menjalan serta menyempurnakan tanggungjawab," katanya lagi.
Comments