PRN: Persiapan Kerajaan Perpaduan T'ganu perlu seiring Persekutuan
- Redzuan Shamsudin

- Jun 22, 2023
- 2 min read

Persiapan menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi parti parti komponen Kerajaan Perpaduan di Terengganu perlu seiringan dengan pentadbiran di peringkat Persekutuan.
Hal itu dinyatakan oleh Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali menanggapi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said semalam.
Katanya, kenyataan Dr Ahmad bahawa kekuatan UMNO dan Pas di Terengganu yang jauh lebih dominan dan perlunya KEADILAN Terengganu mengukur baju di badan sendiri itu tidak salah, bagaimanapun ianya tidak sesuai dengan semangat kebersamaan menghadapi PRN kali ini.
"Kenyataan ini sebenarnya tiada masalah memandangkan Pakatan Harapan (PH) Terengganu sejak bertapak di negeri ini melalui dua pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, sememangnya akur kekuatan (keupayaan) PH perlu diteruskan melalui gerak kerja pimpinan dan akar umbi yang lebih agresif.

"Namun, kewujudan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional perlu diselaraskan di negeri memandangkan tujuan utama kita bersama iaitu membentuk Kerajaan Perpaduan di Terengganu yang pastinya memberi Terengganu satu nafas baru dan memperbaiki kelemahan PAS yang telah mentadbir selama satu penggal," kata Haikal dalam satu kenyataan.
Haikal juga membandingkan situasi rundingan kerusi di 5 negeri lain menjelang PRN yang berjalan lancar terutama di Selangor dan Negeri Sembilan yang diterajui KEADILAN dan tidak menghadapi sebarang masalah.
Katanya, kenyataan mengguris perasaan anggota komponen tidak sesuai dikeluarkan pada waktu ini.
"Saya yakin baik kepimpinan utama Barisan Nasional Terengganu, mahupun PH Terengganu, kita semua mahu proses rundingan ini selesai secara muktamad dan harmoni tanpa ada berlaku pertikaian semasa proses pengundian.
"Dan saya yakin jika kita mampu menunjukkan kebersamaan kita yang lebih kukuh, pasti rakyat lebih yakin untuk bersama dan memberi peluang untuk kita mentadbir negeri," katanya lagi.
Dalam PRU ke 14 lalu BN mendapat 10 kerusi DUN, mana mana parti yang mahu membentuk kerajaan di Terengganu perlu melepasi angka 17 DUN untuk mendapat majoriti mudah.




Comments