
Meski pun menghadapi cabaran hebat daripada Perikatan Nasional (PN) yang bermain isu perkauman dan agama sempit Pemuda Amanah yakin Pakatan Harapan (PH) akan kembali berkuasa di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada Julai atau Ogos ini.
Menurut Pengarah Biro Pilihan Raya Pemuda Amanah Nasional, Asmaaliff Abdul Adam, penguasaan itu dijangka akan berlaku berdasarkan rekod pentadbiran PH sebelum ini yang amat baik di ketiga tiga negeri berkenaan.
"Rekod pentadbiran cemerlang PH dalam membangun institusi yang adil, berintegriti, dan berwibawa dianggap sebagai penanda aras bagi rakyat untuk terus memberikan sokongan kepada mereka, sambil menekankan isu-isu dan kepentingan rakyat yang utama," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Asmaaliff mengajak pengundi agar tidak ragu ragu untuk mempertahankan Kerajaan Negeri sedia ada bagi mencapai pentadbiran yang lebih baik untuk tempoh 5 tahun akan datang.
"Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus mempertahankan agenda keadilan, kebebasan, dan kesejahteraan bagi semua lapisan masyarakat, dengan menghormati kepelbagaian bangsa dan agama yang diperjuangkan oleh Kerajaan Perpaduan.
"Pendekatan ini bertepatan dengan sistem raja berperlembagaan yang juga mempertahankan kepentingan Melayu dan agama Islam yang diamalkan di negara kita.
"Sebagai Biro Pilihanraya Pemuda AMANAH, kami turut menyeru setiap individu untuk menolak sekeras-kerasnya pihak-pihak yang menunggang isu-isu agama dengan fitnah dan 'fearmonggering' berlebihan demi mencapai matlamat politik, sedangkan kualiti pentadbiran mereka jelas lemah seperti dibuktikan di Kedah, Terengganu dan Kelantan," katanya.
Pemuda Amanah, ujar beliau tidak mahu pihak yang memerintah kelak hanya melahirkan pemimpin yang berdegar-degar dalam beretorik, tetapi isu utama seperti air bersih pun gagal dibekalkan kepada rakyat sebagaimana pemimpin PN.
"Marilah kita bersama memberikan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan ini demi masa depan negara yang lebih cerah," katanya lagi.