top of page

PRN NS: Kalah pertandingan, tidak kalah perjuangan - Mahfuz

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyifatkan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan minggu lalu sebagai ujian terhadap perjuangan parti, bukannya pengakhiran kepada usaha membina kepercayaan rakyat.


Beliau berkata, semua pihak perlu menerima keputusan pilihanraya dengan hati terbuka dan menghormati mandat yang diberikan rakyat melalui peti undi.


Menurut Mahfuz, kekalahan itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyalahkan rakyat atau mana-mana pihak, sebaliknya menjadi ruang untuk pimpinan dan anggota AMANAH melakukan muhasabah.


"Hari ini bukan masa untuk menyalahkan sesiapa. Hari ini adalah masa untuk kita bermuhasabah.


"Kita mungkin kalah dalam pertandingan pilihanraya, tetapi jangan sesekali merasa bahawa pengorbanan kita sia-sia. Perjuangan tidak pernah sia-sia apabila dilakukan dengan ikhlas," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau turut menggunakan perumpamaan seorang petani yang tidak berhenti menanam walaupun hasil musim tertentu hasil tuaianya kurang, sebagai gambaran bahawa usaha membina kepercayaan rakyat perlu diteruskan.


"Mungkin hari ini bukan musim menuai. Tetapi jangan berhenti menanam kepercayaan di hati rakyat," katanya.


Mahfuz turut menyifatkan keputusan PRN itu sebagai “ribut pilihanraya” yang menguji perjuangan parti, namun menegaskan akar perjuangan tidak seharusnya tercabut akibat kekalahan.


"Hari ini kita diuji oleh ribut pilihanraya. Tetapi saya percaya ribut ini hanya menggugurkan daun, bukan mencabut akar perjuangan kita," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh pimpinan dan anggota AMANAH di semua peringkat supaya mengambil pendekatan lebih dekat dengan rakyat dan membina semula kepercayaan secara berperingkat.


"Kita tidak akan menyalahkan rakyat. Kita tidak akan memusuhi sesiapa. Sebaliknya kita lebih banyak mendengar.


"Kita akan mendekati rakyat dengan lebih rendah hati. Kita akan membina semula kepercayaan sedikit demi sedikit," katanya.


Mahfuz berkata, kekalahan kerusi dan kehilangan kerajaan Negeri Sembilan tidak seharusnya menyebabkan parti kehilangan semangat juang atau prinsip.


Beliau juga menggariskan keperluan parti memberi lebih penekanan kepada hubungan dengan rakyat, selain menyampaikan dasar dan membina harapan untuk masa depan.


"Jangan hanya membina projek. Binalah hubungan. Jangan hanya menyampaikan dasar. Sampaikan harapan untuk masa depan.


"Jangan pernah putus asa terhadap rakyat. Jika mereka belum memilih kita, itu bererti mereka masih perlu mengenali kita dengan lebih dekat. Dan itu menjadi tanggungjawab kita."


Mahfuz menegaskan perjuangan politik Amanah tidak berakhir selepas keputusan pilihan raya, sebaliknya perlu diteruskan menerusi usaha mendapatkan semula kepercayaan rakyat.


"Kita tidak kalah kerana kita berjuang. Kita hanya tidak menang kerana perjuangan membina kepercayaan rakyat belum selesai.


"Kini kita pulang ke tempat kita bukan dengan kekecewaan, tetapi dengan muhasabah; bukan dengan marah, tetapi dengan keazaman. Kerana perjuangan ini tidak berakhir di peti undi. Perjuangan ini berterusan di hati rakyat," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page