top of page

PRN NS: Hormati Institusi Raja, jangan jadi ‘rumah siap, pahat berbunyi’

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Semua pihak perlu menerima keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dizahirkan melalui peti undi dengan penuh rendah diri, kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan (gambar).


Beliau berkata, keputusan PRN berkenaan perlu dihormati agar mengelakkan tindakan atau kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi Raja Berperlembagaan.


"PRN Negeri Sembilan telah berakhir.


"Semua pihak harus menerima keputusan rakyat yang dizahirkan melalui peti undi. Ini termasuk Pakatan Harapan, yang wajar menerima keputusan ini dengan penuh rendah diri.


"Malangnya, seakan-akan ‘rumah siap, pahat berbunyi’," katanya dalam kenyataan media.


Menurut Ahli Parlimen Bangi itu, semua pihak perlu memahami bahawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mempunyai peranan yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk dalam proses pelantikan Menteri Besar.


Katanya, Yang di-Pertuan Besar boleh bertemu mana mana pimpinan parti.


"Dalam menjalankan peranan tersebut, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan berhak berjumpa dengan mana-mana pihak bagi menentukan siapa yang dilantik sebagai Menteri Besar," katanya.


Beliau turut menyifatkan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar sebagai sesuatu yang memberi gambaran tidak baik.


"Tindakan beberapa ADUN tidak menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar semalam memberi gambaran yang amat tidak baik, menimbulkan persepsi bahawa upacara itu diboikot.


"Betul atau tidak, itulah persepsi dan cakap-cakap di luar sana. Alasan yang diberikan untuk ketidakhadiran juga tidak boleh diterima


"Pada masa yang sama, tindakan mempersoalkan perjumpaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dengan mana-mana pihak, termasuk pemimpin parti politik, juga tidak patut berlaku," katanya.


Sehubungan itu, Syahredzan menggesa semua pemimpin politik menghormati dan menjunjung peranan serta budi bicara institusi Raja Berperlembagaan dalam proses yang termaktub dalam undang-undang.


"Semua pemimpin politik digesa untuk menghormati dan menjunjung peranan dan budi bicara institusi Raja Perlembagaan dalam proses yang termaktub dalam undang-undang ini," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page