PRN Negeri Sembilan: Pengundi muda cenderung pilih PH-BN
- Suara Keadilan

- Jul 30, 2023
- 2 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) di 6 buah negeri telah pun bermula kepada para calon untuk meraih sokongan sebelum tarikh pengundian pada 12 Ogos ini.
Berbaki 13 hari sahaja sebelum mengundi, tinjauan Suara Keadilan mendapati rata-rata pengundi muda memberi respon yang positif kepada prestasi Kerajaan Negeri di DUN Ampangan, Negeri Sembilan.
Bagi Noor Alia Madon, 25, mahasiswa (gambar, atas), beliau lebih cenderung kepada gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) hasil prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri.
"Saya lebih berat kepada PH-BN kerana mereka dilihat lebih prihatin untuk menjaga ekonomi dan kebajikan rakyat.
"Oleh sebab itu, PRN ini saya cenderung untuk memilih calon daripada PH-BN supaya Ampangan dapat membangun dengan lebih baik," katanya.
Selain itu, Alia yang juga pengundi di DUN Ampangan mengakui faktor calon wanita juga memainkan peranan penting baginya dalam memilih calon di peti undi nanti.
Hal ini menurutnya, sifat wanita yang lebih prihatin dan penyayang itu boleh dijadikan sebagai pendekatan baharu untuk memimpin.
"Pada saya PRN kali ini tidak salah untuk memilih calon wanita kerana sikap mereka yang lebih prihatin dan penyayang itu boleh dijadikan sebagai cara baharu untuk memerintah," jelasnya.

Sementara itu, Azim Ismail, 31, pekerja swasta juga turut memperakui, prestasi cemerlang yang berjaya dibawa oleh PH sepanjang lima tahun itu menjadi faktor untuk beliau memilih mengekalkan Kerajaan Negeri sedia ada.
"Harus untuk kita akui, sepanjang PH mentadbir Negeri Sembilan banyak perubahan ekonomi dan bantuan yang diberikan.
"Saya kira wajar untuk kita mengekalkan keselesaan yang ada ini dengan memilih parti yang telah terbukti menjaga rakyat," ujarnya.
Turut berkongsi hasrat yang sama, Muhammad Asyraf Danial Jefri, 24, pekerja swasta yang juga mengakui mengenai prestasi Kerajaan Negeri.

Jelasnya, pengundi di Negeri Sembilan juga wajar memilih parti yang selari dengan Kerajaan Pusat agar rakyat memperoleh manfaat besar daripada perkara tersebut.
"Saya kira lebih baik kita memilih parti yang selari dengan kerajaan sekarang (pusat) kerana ia lebih baik untuk rakyat sendiri memperoleh manfaat besar lebih-lebih lagi dalam soal kestabilan politik dan peruntukan," kata Asyraf.









Comments