top of page

PRN Melaka: Runding atau tidak, PH sentiasa sedia - Adam Adli

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
1 min read
Adam Adli Abd Halim. Gambar arkib
Adam Adli Abd Halim. Gambar arkib

Pakatan Harapan (PH) Melaka komited untuk memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang tidak dijadikan medan yang memecah-belahkan rakyat.


Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Melaka, Adam Adli Abd Halim menegaskan, sesengit mana sekalipun persaingan politik, ia tidak sepatutnya menutup ruang untuk parti politik terus bekerjasama demi kepentingan dan kebaikan rakyat.


"Kita mahu rakyat, khususnya para pengundi, tidak melihat PRN sebagai punca perpecahan. Persaingan pilihan raya sepatutnya berlangsung sihat tanpa menjejaskan keharmonian serta hubungan sesama masyarakat di negeri ini," katanya dipetik laporan media.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutup Kampung Angkat Madani (KAM) di Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, pada Sabtu.


Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya sementara itu menegaskan PH sentiasa bersedia mendepani PRN Melaka, termasuk meletakkan calon di semua kerusi yang pernah ditandingi sebelum ini.


Ia susulan pendirian Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh yang memaklumkan Barisan Nasional (BN) akan menggunakan formula ‘BN Plus’ pada PRN kali ini, selain hanya memulakan rundingan dengan parti lain selepas DUN Melaka dibubarkan.


"Memang kena sentiasa bersedia sebab runding atau tidak runding itu pilihan masing-masing, setiap parti ada hak untuk buat keputusan.


"Kalau kita bersaing di semua kerusi yang ditandingi pun tidak jadi isu kerana kita memang sebelum ini pun macam itu juga," katanya.


Beliau turut menegaskan, PH mahu menjadi sebahagian daripada usaha membawa pendekatan politik yang disenangi masyarakat, selain mengubah persepsi parti politik tidak mampu bekerjasama atau mewakili kepentingan masyarakat secara menyeluruh.


Malah sepanjang lebih tiga tahun kerajaan perpaduan di Melaka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH telah memberikan kerjasama baik kepada kerajaan negeri.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page