
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menyaksikan pergolakan politik hebat dalam gabungan kerajaan memerintah yang mungkin akan mengurangkan keyakikan para pengundi untuk menyokong Perikatan Nasional mahu pun BN.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, pergolakan tersebut jelas satu faktor kekurangan yang nyata dalam blok kerajaan yang sebelum ini memimpin Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, dengan BN telah mengumumkan calon bertanding di 28 kerusi DUN dan PN juga berbuat demikian, pengundi boleh melihat parti-parti kerajaan tidak sehaluan dan akan sukar memerintah Kerajaan Negeri jika diberi mandat.
"Dengan pengumuman bahawa BN bertanding di semua 28 kerusi maka sah PN dan BN tidak sehaluan.
"PN dilaporkan akan mungkin menamakan calon yang ditolak oleh BN," katanya kepada Suara Keadilan selepas KEADILAN dan Amanah mengumumkan calon mereka di Melaka, semalam.
Pengumuman calon PN lewat petang semalam juga merupakan penamat kepada rundingan kerjasama yang cuba diaturkan oleh puak PM Ismail Sabri Yaakob dan PN.
Manakala kesediaan Pas untuk memakai logo PN dalam PRN Melaka memberi isyarat awal Pilihan Raya Umum ke 15 akan berlaku pertandingan 3 penjuru antara PN, BN dan PH.