top of page

PRN Melaka: PH tidak setuju hanya pengundi divaksinasi sahaja dibenar mengundi



Pakatan Harapan (PH) menolak kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa hanya pengundi yang telah divaksinasi sahaja dibenar membuang undi pada hari pengundian.


Majlis Presiden PH, beranggapan tindakan tersebut melanggar Perlembagaan Persekutuan kerana menghilangkan hak secara tidak sah golongan yang tidak mengambil vaksin Covid 19.


"Majlis Presiden kurang bersetuju dengan pengumuman SPR berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.


"Kami turut kesal dengan kenyataan Pengerusi SPR seperti yang dilapor media hanya pengundi yang sudah lengkap dua dos vaksin boleh keluar mengundi, dan berpandangan tindakan tersebut berkemungkinan melanggar Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan berhubung kelayakan pemilih.


"Sungguhpun PH menyokong penuh usaha pemberian vaksinasi kepada semua, ia tidak boleh dijadikan alasan tindakan diskriminasi ke atas mereka yang belum lengkap dua dos, dan tindakan menghalang ini berkemungkinan tidak sah dari segi undang-undang," kata mereka dalam kenyataan hari ini.


Justeru, Majlis Presiden PH menggesa pihak SPR untuk mengkaji semula pendirian berkenaan bagi memastikan semua warganegara yang layak menjadi pemilih berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dibenarkan membuang undi dalam PRN Melaka


Selain itu, Majlis Presiden juga menegur keputusan terburu buru untuk melaksanakan PRN tersebut sedangkan kes pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka akan dibawa ke mahkamah pada minggu ini dan satu injuksi akan diminta.


"Pada Rabu ini, Pakatan Harapan Melaka melalui (Pengerusi PH Melaka) Adly Zahari akan memfailkan satu injunksi mahkamah berhubung pembubaran DUN Melaka. Satu sijil perakuan segera (certificate of urgency) telah turut difailkan agar perkara ini dapat disegerakan, memandangkan Notis Pembubaran DUN Melaka hanya dikeluarkan pagi tadi.


"Majlis Presiden menyokong penuh tindakan mahkamah yang diambil PH Melaka.


"PH berpendirian pembubaran DUN Melaka telah dilakukan berdasarkan nasihat yang salah. Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri Melaka seharusnya mengikuti duluan di peringkat Persekutuan, di mana KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memanggil menghadap blok yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti terlebih dahulu.


"Kami juga masih mengekalkan pendirian Datuk Seri Sulaiman Ali sepatutnya tidak dinamakan sebagai Ketua Menteri ‘caretaker’ memandangkan beliau jelas telah hilang sokongan majoriti sebelum tindakan pembubaran DUN Melaka berlaku," kata mereka.


Majlis Presiden turut berpendapat waktu ini bukan masa paling sesuai untuk mengadakan PRN, memandangkan penularan wabak Covid-19 baru menunjukkan trend penurunan, sektor-sektor ekonomi baru dibuka semula dan kerisauan berlakunya gelombang ke-4 Covid.


"Kami turut risau jika PRN diteruskan, prosedur operasi standard (SOP) berkempen yang akan digunapakai mungkin mewujudkan keadaan yang tidak adil atau berat sebelah bagi sesetengah pihak.


"Bagaimanapun, buat masa ini PH akan meneruskan segala persiapan termasuk kemungkinan menghadapi PRN Melaka," kata kenyataan itu lagi.


Untuk rekod, PH sukar untuk mempercepatkan tindakan undang-undang berhubung pembubaran DUN Melaka kerana kerana kegagalan pihak pengurusan DUN menyerahkan Notis Pembubaran DUN secara rasmi kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).


Hanya pada pagi ini pihak DUN Melaka mengeluarkan surat penyerahan Warta Pembubaran DUN ke-14 melalui surat bertarikh 15 Oktober 2021. Manakala pada hari ini juga SPR mengeluarkan kenyataan PRN DUN Melaka diadakan pada bulan November 2021.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page