PRN Melaka: PH guna satu logo, PN berterabur rakyat keliru - Shamsul
- Redzuan Shamsudin
- Nov 4, 2021
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) akan turun dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan imej yang mantap dan bersatu padu menggunakan logo HARAPAN.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, imej mantap itu dijangka akan membantu memberikan keyakinan kepada pengundi memilih PH berbanding BN atau Perikatan Nasional yang kelihatan berterabur dan bertingkah sesama sendiri.
"Kita lihat nanti di Melaka 28 kerusi kesemua atas kertas undi ada satu lambang, iaitu lambang HARAPAN. Ini tentunya berbeza dengan parti lawan kita.
"Mereka ada BN, Perikatan Nasional. Malah saya ingat kenyataan Umno, kalau Pas bertanding nak elak tiga penjuru maka kena guna logo sendiri. Kita tahu Pas akan guna lambang PN.
"Dengan itu kita saksikan pertandingan 3 penjuru. Kita pun pening adakah Umno dan Pas ada kerjasama? Kemudian menggunakan lambang PN, ini memberi mesej mengelirukan.
"Di peringkat Persekutuan mereka duduk dalam kabinet bersama-sama, di peringkat negeri berlaga sesama sendiri. Bagaimana kita mahu beri keyakinan untuk melantik mereka sebagai kerajaan?
"Jadi PH dilihat mempunyai muafakat. Inilah koalisi politik yang rakyat boleh beri keyakinan," katanya dalam forum maya terbitan KEADILAN Studio bertajuk: "Kempen PRU DUN Melaka Double Standard", malam tadi.
Mengulas mengenai cara berkempen dalam pilihan raya di luar negara, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu mengajak Suruhanjaya Pilihan Raya melihat cara kuasa besar demokrasi, Amerika Syarkat menjalankan pemilihan presiden 2 tahun lalu.
Katanya, pelbagai pendekatan kempen kreatif dibuat ketika negara itu melalui fasa pandemik Covid 19 dan jangkitan yang jauh lebih tinggi daripada Malaysia.
"Pengalaman AS ketika pemilihan presiden ada ceramah di parkir. Ada pentas dan penonton yang datang duduk di dalam kereta. Ini perkara yang boleh dimanfaatkan oleh parti politik sesuai dengan apa yang disusun, supaya tidak berlaku kluster baharu.
"Kita lihat pihak SPR ini tidak proaktif tentang bagaimana kita hendak berdepan dengan susana kempen yang mematuhi SOP dan memastikan jangan ada jangkitan baharu. Ini perkara yang serius.
"Parlimen akan tamat tempoh pada bulan Julai 2023. Dari tarikh hari ini sampai Julai 2023 itu maka SPR boleh memikirkan bagaimana cara kempen yang selamat boleh dilakukan.
"PRU akan datang nanti akan ada tambahan pengundi, iaitu Undi 18 yang akan menambah 20 - 30% pengundi di sesuatu kawasan pilihan raya dan lebih banyak yang akan berpartisipasi dalam pilihan raya," katanya.
Di samping itu, Shamsul juga mahu kerajaan membenarkan agar media tradisional milik kerajaan memberikan ruang siaran kepada pihak pembangkang untuk berceramah ringkas atau menyatakan manifesto, agar rakyat mendapat maklumat yang cukup sebelum keluar mengundi.
Tegas beliau, tindakan yang terlalu keras seperti hari ini seolah-olah mahu membunuh demokrasi dan membiarkan pengundian berlaku dalam keadaan rakyat teraba-raba sedangkan Melaka telah pun masuk ke Fasa 4 pemulihan yang tiada masalah untuk menganjurkan kempen.
"Bila fasa ini SOPnya kembali seperti kehidupan biasa, biar pun kita masih pakai pelitup muka dan penjarakan fizikal.
"Sekarang kita lihat di Melaka kedai mula dikunjungi dan keadaan sudah seperti biasa. Maknanya kalau kita buat kempen PRN pada hemat saya tidak mengganggu jika ia sesuai dengan SOP Fasa 4.
"Sebab itu saya hairan PRN ini kita dikenakan pelbagai sekatan, antaranya tidak boleh berkempen. Itu saya tanya dalam Dewan Rakyat apa guna PRN kalau tak boleh kempen? PRN peranannya untuk pilih wakil rakyat, kedua untuk menyatakan bahawa apabila nak memilih wakil ia mestilah inform pengundi. Mereka perlu mendapat maklumat yang lengkap untuk memastikan mereka tahu apa yang ditawarkan oleh calon bertanding.
"Bila disekat dengan sekatan tidak munasabah, ini merupakan satu tindakan membunuh demokrasi itu sendiri," katanya lagi.
Comments