PRN Melaka: Pas tanding 16 kerusi DUN, semua Melayu lawan Melayu?
- Akmal Manaf

- 5 days ago
- 1 min read

Pas sekali lagi menjadi sasaran sindiran apabila parti itu menyasar untuk bertanding di 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual diadakan pada hujung tahun ini.
Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Melaka, Ezal Zamri berkata, semua kawasan yang disasarkan Pas itu merupakan kerusi majoriti Melayu dan bukan dipegang oleh DAP dan menimbulkan tanda tanya berkenaan tekad Pas untuk menyatukan Melayu.
"16 kerusi katanya... Kalau Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) tak bergabung, mungkin kat Duyong je la kot baru (Pas) jumpa DAP.
"Cakap Melayu kena bersatu memang sedap dengar. Tapi tengok gaya pilih kerusi, lawan sesama Melayu jugak.

"Kalau betul nak kuatkan pengaruh, kenapa tak pergi 'try' kawasan lain?
"Akhirnya "Hidup Melayu' tu, rupanya lawan Melayu jugak. Bangsa Melayu kena tunggang, agama dijadikan tiket nak halalkan politik," katanya sinis dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan Pesuruhjaya Pas Melaka, Zulkifli Ismail berkata, 16 kerusi DUN yang dijangka ditandingi Pas ialah Pantai Kundor, Paya Rumput, Klebang, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Kuala Linggi, Taboh Naning, Rembia, Durian Tunggal, Ayer Molek, Pengkalan Batu, Telok Mas, Duyong, Sungai Rambai, Merlimau dan Serkam.
Jelasnya, jumlah kerusi yang mahu ditandingi itu dianggap realistik susulan kemenangan di Parlimen Jasin dan Tangga Batu dalam Pilihan Raya Umum 2022.
Beliau berkata, parti itu akan bertanding di semua kerusi berkenaan dengan menampilkan calon berwibawa, berintegriti dan mempunyai latar belakang kepimpinan yang diyakini.
Penggal DUN Melaka dijadual tamat pada Disember ini sekali gus bakal membuka laluan kepada PRN pada hujung tahun.




Comments