PRN Melaka: KEADILAN Masjid Tanah tampilkan calon muda, bawa perubahan
- Suara Keadilan

- Jun 9
- 2 min read

KEADILAN Masjid Tanah menyatakan hasrat untuk menampilkan barisan calon muda berwibawa pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang sebagai bukti kesungguhan membawa perubahan sebenar kepada rakyat di kawasan itu.
Ketua Penaja Cabang KEADILAN Masjid Tanah, Asri Ibrahim (gambar), berkata pilihanraya kali ini bukan sekadar pertandingan politik biasa, sebaliknya medan penting untuk rakyat menentukan hala tuju masa depan sama ada mahu terus dengan politik lama atau memilih kepimpinan baharu yang lebih segar dan dekat dengan mereka.
"Pilihan raya negeri yang bakal dihadapi bukan sekadar pertandingan politik biasa tetapi medan untuk menentukan sama ada rakyat mahu terus terperangkap dengan politik lama atau memilih kepimpinan baharu yang lebih segar, berani dan dekat dengan denyut nadi rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, KEADILAN Masjid Tanah akan mengetengahkan calon-calon muda di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bawah Parlimen Masjid Tanah bagi memastikan kepimpinan yang lebih memahami cabaran semasa rakyat.
Tambahnya, seorang tokoh penting yang berjawatan kanan kepada Perdana Menteri dijangka akan diketengahkan sebagai calon, sekali gus mencerminkan keseriusan parti dalam memastikan suara rakyat Masjid Tanah mendapat perhatian di peringkat tertinggi kerajaan Persekutuan.
Beliau turut mengkritik budaya politik lama yang disifatkan hanya tertumpu kepada retorik dan program bersifat simbolik tanpa impak nyata kepada rakyat.
"Sudah tiba masanya rakyat menolak budaya politik lapuk yang terlalu lama didominasi oleh kelompok yang hanya pandai berceramah dan menganjurkan program demi program tetapi gagal menghasilkan impak yang benar-benar dirasai oleh rakyat. Rakyat kampung tidak memerlukan lebih banyak majlis perasmian, banner dan retorik politik," ujarnya.
Asri menegaskan bahawa generasi muda kini berdepan cabaran berbeza termasuk kos hidup yang meningkat, harga rumah yang tinggi serta keperluan kepada ekonomi digital yang lebih progresif, justeru memerlukan pemimpin yang benar-benar memahami realiti tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar menggunakan peluang pilihan raya akan datang untuk menolak politik status quo dan memilih kepimpinan yang lebih cergas, responsif serta berintegriti.
"Kami mahu memastikan orang kampung, nelayan, petani, penjaja kecil serta anak-anak muda di Masjid Tanah tidak terus tercicir daripada pelbagai inisiatif dan manfaat yang sedang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan.
"Pembangunan tidak boleh hanya tertumpu di bandar manakala masyarakat luar bandar sekadar menjadi penonton kepada kemajuan negara.
"PRN akan datang adalah peluang untuk rakyat menghantar mesej yang jelas bahawa era politik selesa, politik status quo dan politik yang hanya hidup ketika musim pilihan raya sudah berakhir," katanya lagi.
Tegas Asri, Masjid Tanah memerlukan wajah baharu, tenaga baharu dan keberanian baharu untuk mencipta masa depan yang lebih baik.
Untuk rekod, PRN Melaka akan diadakan pada hujung tahun ini memadang tempoh matang DUN berakhir pada Oktober 2026.




Comments