PRN Melaka: 'Agihan kerusi perlu berasaskan realiti, sokongan'
- 5 minutes ago
- 1 min read

Ketua Penerangan KEADILAN Hang Tuah Jaya, Ts Yazid Borhan (gambar), menegaskan bahawa perbincangan berhubung agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijangka diadakan pada hujung tahun ini perlu dibuat secara berfakta dan berteraskan realiti politik semasa, bukannya didorong oleh emosi atau retorik politik.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Hang Tuah Jaya yang memberi respons terhadap pandangannya berkaitan agihan kerusi PRN Melaka sebelum ini.
"Saya ingin bertanya satu soalan mudah, siapa yang mula-mula mendabik dada menyatakan mahu mengekalkan 21 kerusi? Saya hanya jawab berdasarkan fakta PRN Melaka 2021," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, beberapa kerusi yang dimenangi UMNO-BN sebelum ini menunjukkan majoriti yang diperolehi agak tipis, termasuk di DUN Machap, Paya Rumput, Klebang, Rembia serta di kawasan Hang Tuah Jaya sendiri, iaitu DUN Pengkalan Batu dengan majoriti hanya 131 undi.
"Bila kita bercakap soal agihan kerusi, kita bercakap soal realiti (fakta), bukan emosi," tegas Yazid.
Mengulas prinsip KEADILAN, beliau menegaskan parti itu konsisten dengan agenda reformasi yang menuntut setiap individu yang didakwa diberi ruang melalui proses undang-undang dan tidak lebih daripada itu, sama ada kesalahan dilakukan oleh anggota parti mana pun.
Beliau turut menjawab isu berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ditimbulkan.
"PTPTN berapa banyak kelonggaran sudah diberikan. Penstrukturan semula, dan baru baru ini pelajar OKU dapat pembiayaan percuma. InsyaAllah perjuangan ini kita teruskan," katanya.
Yazid menegaskan bahawa isu agihan kerusi tidak perlu dicampur aduk isu lain. Agihan kerusi pula, katanya, bukan soal kepentingan peribadi, sebaliknya perlu mengikut prinsip dalam Kerajaan Perpaduan.
"Jika benar mahu perpaduan, rundingan mesti adil dan matang, bukan dominasi satu pihak," katanya lagi.





