
Kerajaan mengambil pendirian untuk tidak menyekat mana-mana calon PRN yang ingin berdebat di saluran media arus perdana.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata, kerajaan bersikap terbuka dengan menggalakkan media untuk memberikan ruang kepada calon yang ingin berbuat demikian.
Malah tambahnya penganjurkan wacana serta debat disifatkan sebagai perkembangan positif kepada politik negara dan ia amat dialu-alukan.
“Sebagai negara yang amalkan demokrasi kita mesti praktik politik matang dengan amalan debat, saya percaya banyak media sedia platform tetapi terpulang kepada calon sedia untuk debat atau tidak,” katanya.
Fahmi sebelumnya ditanya pemberita sama ada pembangkang akan diberikan ruang untuk terbabit dalam program debat menerusi media penyiaran.
Baru-baru ini, Astro Awani menyatakan kesediaan menerbitkan debat antara Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dan bekas Menteri Kanan Kluster Ekonomi Azmin Ali.
Jemputan itu disambut Rafizi, Azmin turut menyatakan persetujuan namun memberi beberapa syarat sebelum berdebat.
Susulan itu Rafizi menyifatkan Azmin cuba mengelak berdebat dengan mengemuka syarat-syarat tersebut.