Kedah tenggelam dihempas badai kemaraan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 lalu.
Pakatan Harapan (PH) hanya mampu menang satu kerusi parlimen untuk seluruh Kedah dalam pilihanraya itu, manakala BN tidak memenangi sebarang kerusi.
Atas kekalahan berkenaan, PN Kedah, khususnya Pas tidak memandang serius cabaran Kerajaan Perpaduan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijadual pada Julai ini.
Keyakinan Pas bahawa anak muda akan sekali lagi bersama PN pada PRN akan datang menyebabkan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor begitu berani mencerca kepimpinan Perdana Meneteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir setiap minggu.
Bagaimanapun, bagi Pengarah Pilihan Raya PH Kedah, Datuk Zamri Yusof, langit tidak selamanya mendung bagi pembangkang di negeri itu.
Katanya, undi anak muda biar pun mencecah 40% pengundi dan menjadi penentu namun telah kelihatan tanda tanda berlakunya perubahan sejak PRU November 2022 yang berfikiran lebih seimbang berbanding 6 bulan lalu.
"Pengundi muda ini sebelum PRU 15 atau sehingga ke Pilihan Raya Kecil Padang Serai, mereka tak ada sejarah langsung dengan (kepimpinan) Anwar Ibrahim. Pengundi di bawah 40an ini tak ada langsung sentimen dengan Anwar. Mereka tak pernah tengok Anwar sebagai kerajaan, menteri atau Timbalan Perdana Menteri masa dulu.
"Sebab itu kalau kita tengok undi generasi 40an ke atas, mereka kekal undi kita dalam PRU baru ini. Tetapi kita tak dapat undi bawah 40an.
"Cuma sejak 4 - 5 bulan ini, ada kita nampak tanda tanda atau trend yang agak berlainan. Mereka (anak muda) sedeikit demi sedikit mengenali Anwar (perjuangan politik). Yang dulu difitnah komunis, bukan. Liberal, bukan. Agen Yahudi pun bukan. Dan kredibiliti Anwar pula sangat terserlah kebelakangan ini," kata Zamri kepada Suara Keadilan.
Menurut ADUN Suka Menanti itu lagi, perubahan yang drastik juga disaksikan di media sosial yang mana memperlihatkan PH tidak lagi diserang oleh komen komen yang terlalu negatif seperti dahulu.
Katanya, terdapat komen positif mengenai pentadbiran PM Anwar dan belanjawan pro rakyat yang dibentangkan sejak kebelakangan ini.
"Jadi kita boleh lihat posting terbaru di TikTok yang muda muda, kalau masa dekat PRU lalu kita banyak diserang. Namun posting dalam isu politik kebelakangan ini kita tengok (sama ada) like dan serang dah hampir seimbang.
"Kalau dulu 80:20, kalau 80 serang kita, 20 sahaja like kita punya posting. Kali ini kelihatan agak seimbang," katanya.
Namun Zamri berharap keadaan akan menjadi jauh lebih baik dalam 2 bulan berbaki sebelum PRN.
Katanya, perubahan yang signifikan dalam arah sokongan anak muda akan menentukan siapakah yang akan menang pada PRN akan datang.
"Ada masa lagi dalam beberapa bulan. Sebab itu kita bina kerjasama dengan BN, kekuatan itu bagi baik," katanya lagi.
Commentaires