PRN: KEADILAN perjuang tabung khas urus hasil 40% Sabah
- Suara Keadilan

- 8 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
KEADILAN Sabah akan memperjuangkan agar sebuah tabung khas sebagai dana simpanan negeri yang berperanan memastikan hasil 40 peratus diterima daripada Persekutuan dapat diurus dengan berhemah dan beretika demi masa depan rakyat negeri itu.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, perjuangan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi agenda utama parti termasuk melibatkan hak hasil 40 peratus tersebut.
"Tabung ini akan mengambil inspirasi daripada model Sarawak Sovereign Wealth Future Fund dan Government Pension Fund of Norway, di mana hasil sumber negeri dilaburkan semula bagi menjana pulangan mampan untuk manfaat generasi akan datang.
"Dengan wujudnya tabung khas ini, Sabah bukan sahaja menuntut haknya tetapi juga membina asas ekonomi jangka panjang yang berdaya tahan dan mampu menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan," katanya dalam hantaran di Facebook selepas memulakan Siri Jelajah Harapan Urang Sabah Bahagian Pantai Barat di Inanam menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke 17.
Kawasan itu merupakan kubu kuat KEADILAN di Sabah yang telah dimenangi secara konsisten sejak 2013.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata negara ini bertuah mempunyai seorang perdana menteri yang bukan sahaja memahami tuntutan MA63 malah memberikan komitmen 100% untuk menunaikan hak Sabah termasuk pemberian hasil 40% seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan sendiri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai tuntutan yang tertangguh selama berdekad-dekad kini berjaya diselesaikan satu demi satu," ujarnya.
Jelas beliau isu besar yang telah diselesaikan antaranya pemindahan kuasa kawal selia tenaga elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah, pelantikan wakil Sabah ke Lembaga Hasil Dalam Negeri serta pelaksanaan semakan rasmi terhadap pemberian khas 40%.
"Ini membuktikan bahawa komitmen kerajaan hari ini bukan sekadar retorik tetapi diterjemahkan melalui tindakan dan keputusan dasar negara," kata Ahli Parlimen Sepanggar itu.
Dalam majlis yang sama, Mustapha berkata seramai 300 ahli STAR Darau telah mengisytiharkan penyertaan mereka ke dalam KEADILAN Cabang Sepanggar diketuai oleh Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik iaitu bekas Ketua Bahagian STAR Darau.
"Penyertaan besar-besaran ini disambut oleh Ketua Cabang KEADILAN Sepanggar, Datuk Peto Galim dalam suasana penuh semangat dan kekeluargaan.
"Ini membuktikan bahawa semakin ramai rakyat Sabah termasuk para pemimpin tempatan mula melihat KEADILAN dan Pakatan Harapan sebagai wadah perjuangan yang konsisten dalam membela hak-hak Sabah serta memperjuangkan masa depan rakyat," ujarnya.
Sebelum pembubaran DUN pada 6 Oktober lalu, KEADILAN Sabah mempunyai dua kerusi DUN iaitu Inanam yang disandang Peto dan Api-Api yang diwakili Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew.
Pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-16 pada September 2020, Peto memenangi kerusi DUN Inanam dengan majoriti 5,638 undi selepas meraih 8,586 undi sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya dari Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk William Majimbon yang mendapat 2,948 undi.
Ketika itu, Peto berdepan saingan 10 penjuru termasuk bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat mewakili Parti Liberal Demokratik (LDP) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam, Datuk Kenny Chua yang bertanding calon bebas.
Peto yang juga Timbalan Ketua PKR Sabah dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah disebut-sebut bakal dicalonkan semula oleh KEADILAN.
Peto juga dijangka berdepan ramai saingan dengan lapan nama disebut-sebut bakal menentangnya untuk merebut kerusi tersebut pada PRN-17 pada 29 November ini.








Comments