top of page

PRN ke -17: Hajiji bubar DUN Sabah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 6
  • 2 min read

ree

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan hari ini setelah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah atau PRN Sabah ke-17.


Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) mengumumkan pembubaran itu pengumuman selepas mengadakan pertemuan ersama wakil rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu pada 2.54 petang ini.


Terdahulu, khabar mengenai pembubaran DUN tersebar apabila Hajiji menghadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu dengan kenderaannya dilihat memasuki pekarangan istana pada 8.51 pagi.


Hadir sama pada majlis pengumuman pembubaran DUN itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) serta anggota Kabinet Negeri.


Turut hadir pemimpin komponen GRS ialah Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fa dan Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman.


Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), serta pemimpin PH Sabah lain antaranya Pengerusi DAP Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.


DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan ADUN yang dilantik.


PRN Sabah ke-16 pada 2020 menyaksikan GRS yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan ADUN bebas berjaya membentuk kerajaan Sabah dengan memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.


Parti Warisan pula menguasai 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.


GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP), tanpa penyertaan BN dan PAS.


Bagaimanapun, November tahun sama, Hajiji dan pemimpin Bersatu telah bertindak keluar daripada parti tersebut seterusnya menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum Bersatu kemudiannya digugurkan daripada GRS.


Pada Januari 2023, BN menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS namun PH mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan negeri sekali gus mengekalkan kerajaan Sabah sedia ada dan Hajiji sebagai Ketua Menteri.


Khamis lepas Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun memaklumkan STAR serta SAPP akan bertanding secara berasingan pada PRN Sabah ke-17, dengan menggunakan logo parti masing-masing.


Langkah itu mengakibatkan kedua-dua parti tersebut tidak lagi dianggap sebahagian daripada GRS ekoran keputusan Majlis Tertinggi yang menetapkan mana-mana parti komponen bertanding menggunakan logo sendiri akan terkeluar daripada gabungan.


Kini, GRS dianggotai Gagasan Rakyat, PBS, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) serta Parti Cinta Sabah (PCS) dan gabungan itu mempunyai 42 kerusi DUN.


Sementara itu, Warisan (14), BN (12), PH (7), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (2) dan Pas (1).


Kerusi DUN Sungai Sibuga kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain daripada BN pada Januari lepas.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page