top of page

PRN: "Kami sokong Pas bergerak solo" - KEADILAN Melaka

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 4 hours ago
  • 2 min read

KEADILAN Melaka menyatakan sokongan terbuka terhadap kemungkinan Pas ingin bergerak secara solo menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan diadakan pada hujung tahun ini.


Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos berkata, cadangan yang dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari semalam dilihat sebagai langkah paling jujur dan wajar bagi parti berkenaan.


Menurut beliau, Pas sudah terlalu lama berada dalam dilema dan bergantung kepada kerjasama politik dengan parti lain sehingga menimbulkan perbalahan berpanjangan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).


Oleh itu, katanya, tiba masa Pas mencuba bergerak solo bagi mengukur kekuatan sendiri.


"Pada hemat saya, cadangan tersebut adalah langkah yang paling jujur dan terbaik untuk Pas. Sudah terlalu lama mereka berada dalam keadaan serba salah antara mempertahankan identiti sendiri atau terus menjadi bayang-bayang kepada parti lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Eddiarman Mohd Yunos
Eddiarman Mohd Yunos

Eddiarman berkata, jika Pas benar-benar yakin dengan kekuatan akar umbi, jentera parti serta sokongan rakyat, maka PRN Melaka adalah medan terbaik untuk mereka menguji keupayaan tersebut sebelum terjun ke dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.


Tambahnya, rakyat kini semakin ingin melihat hala tuju sebenar Pas di peringkat nasional, termasuk sama ada parti itu bersedia untuk memimpin negara atau sekadar kekal sebagai pengkritik kerajaan.


"Jika benar Pas merasakan mereka mempunyai kekuatan yang sering dicanangkan maka inilah masanya untuk membuktikan secara bersendirian," ujarnya.


Dalam pada itu, Eddiarman turut mempersoalkan kejelasan kepimpinan nasional Pas, terutama berkaitan calon Perdana Menteri yang bakal diketengahkan menjelang PRU.


Katanya, kenyataan pimpinan Pas sebelum ini bahawa menjadi Ketua Pembangkang tidak semestinya menjadi Perdana Menteri telah menimbulkan persoalan besar dalam kalangan rakyat.


"Jika Pas serius mahu dilihat sebagai parti yang layak memimpin Malaysia, maka mereka perlu mula menonjolkan kepimpinan nasional mereka dengan lebih jelas.


"Rakyat berhak mengetahui siapakah tokoh yang bakal diketengahkan, apakah visi yang dibawa dan sejauh mana Pas yakin untuk berdiri atas kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada parti-parti lain."


Pada masa sama, beliau menggesa Pas memikirkan secara serius untuk menggunakan PRN Melaka menguji pengaruh sebenar mereka di selatan tanah air.


"Kami dari KEADILAN amat mengalu-alukan hasrat Pas bergerak solo di Melaka. Gunakanlah PRN Melaka sebagai pentas membuktikan kekuatan sebenar Pas terutama di kerusi tradisi yang dipertahankan oleh DAP.


"Jangan sekadar menjadi jogho (juara) dalam ceramah atau media sosial, tetapi buktikan ia di medan pilihanraya


"Jika benar Pas yakin dengan gelombang sokongan yang sering dicanangkan, maka inilah masanya untuk rakyat melihat sendiri sejauh mana kekuatan tersebut mampu berdiri tanpa tongkat politik daripada sesiapa," katanya lagi.


Semalam Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan Pas dan Bersatu wajar bergerak secara berasingan pada pilihan raya akan datang selepas mendakwa hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu semakin sukar dipertahankan.


Menurutnya, kenyataan seorang pemimpin Bersatu di Melaka yang menyifatkan pihak yang mendakwa partinya tiada jentera sebagai ‘pekak’ menggambarkan bahawa sudah tiada harapan untuk mewujudkan kerjasama yang harmoni antara kedua-dua pihak.


"Bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti itu tidak mempunyai jentera, tambahan pula jika ia sebuah parti baharu. Namun, yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan tersebut.


"Tiada masalah jika kekurangan jentera diikuti usaha memperkukuh parti. Namun, jika bertahun-tahun selepas pilihanraya parti masih berantakan, itu bukan proses pemantapan.


"Sebaliknya, ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan," kata Fadhli menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page