PRN Johor tidak perlu, pertembungan kuasa Umno punca DUN dibubar - Syed Ibrahim



Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang ditentang oleh Pakatan Harapan (PH) pada waktu rakyat masih belum pulih akibat kesan pandemik Covid 19 dan bencana banjir baru baru ini tetap menjadi pilihan 'terbaik' pemimpin Umno BN.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, pertembungan kuasa dalam Umno di peringkat pusat mungkin penyebab rakyat Johor dipaksakan untuk mengundi dalam PRN tanpa mengambil kira faktor faktor tempatan yang tidak mengizinkan.


"Kerajaan Negeri akhirnya memutuskan untuk melaksanakan PRN tatkala rakyat baru berdepan musibah banjir besar dan di kala kita belum menang melawan pandemik Covid 19, apatah lagi dengan kemunculan varian Omicron yang mencatatkan peningkatan kes di negeri Johor sejak beberapa minggu kebelakangan ini.


"Pertembungan kuasa dalaman parti Umnolah yang sebenarnya memicu kearah pembubaran DUN ini. Usah berdolak-dalik kononnya ia adalah intimidasi dari pembangkang!


"Di manakah saranan sebelum ini kononnya kerajaan menjanjikan fokus dalam meningkatkan semula ekonomi negeri dan rakyat, pasca pandemik? Bukankah mereka juga yang sering melaungkan kita belum menang dan jangan berpolitik demi kestabilan, lalu drama apakah ini?" tanya Syed Ibrahim.


Tegas Ahli Parlimen Ledang itu, PH sejak sekian lama menolak sebarang usaha pembubaran DUN yang menyusahkan rakyat.


Apatah lagi, katanya, Pilihan Raya Umum telah hampir dan boleh disekalikan dengan PRN bagi memastikan keadaan kesihatan dan ekonomi rakyat diperbaiki terlebih dahulu.


"Ketika ini rakyat terus dibebani kos sara hidup yang meningkat lantaran pandemik. Kenaikan harga makanan asas tidak terkawal, ditambah lagi kelembapan ekonomi akibat urustadbir kerajaan Pusat mahupun kerjaan Negeri yang begitu buruk kerana sibuk mencatur kuasa demi survival peribadi dan kroni.


"Dalam percaturan politik ini Umno - BN adalah Kayangan, kita KEADILAN adalah rakyat. Kita komited untuk terus mempertahankan hak dan suara Rakyat.


"BN mentadbir secara ‘Double Standard’. KEADILAN bersama Pakatan Harapan menjulang hasrat rakyat dan tidak sesekali melupakan atau membezakan mereka. Hal itu telah kita buktikan sewaktu menerajui Kerajaan Negeri selama 22 bulan. Sama adil, sama dapat," katanya.


Menurut Syed Ibrahim lagi, Umno - BN hanya akan menempa amarah rakyat dengan percaturan politik di Johor yang dilakukan secara sesuka hati


Katanya, rakyat semakin sedar amalan korupsi, kronisme, nepotisme yang diamalkan kerajaan BN baik di peringkat negeri mahupun pusat menatijahnya perkembangan ekonomi dan negara semakin terencat


Sebaliknya, menurut beliau, demi kestabilan politik dan negeri, KEADILAN Johor di bawah koalisi Pakatan Harapan telah membuktikan kesepakatan dengan memberi kerjasama terbaik kepada kerajaan Johor di bawah kepimpinan Mantan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.


"Namun begitu, KEADILAN Johor akur dengan pembubaran DUN setelah mendapat perkenan Tuanku Sultan Johor. KEADILAN Johor telah bersedia awal menghadapi pilihan raya dengan penubuhan jentera pilihan raya, latihan-latihan serta kursus, mewujudkan bilik gerakan dan lantikan Penyelaras DUN juga Parlimen lebih setahun lalu.


"Kini gendang perang telah dipalu, maka membujur lalu melintang patah!


"Ayuh saudara-saudari teman seperjuangan, kita rapatkan SAF, mara kehadapan pertahankan Hak Rakyat Johor," seru Syed Ibrahim.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER